_1a4kyodgazguo.jpg)
BACHOK 27 Mei 2025 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI) hari ini memulakan kerjasama dengan tiga rakan strategik bagi Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mewujudkan jaringan akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan pendidikan, serta pemerkasaan bahasa dan pelancongan pendidikan.
MoU tersebut melibatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sekolah Tinggi Ilmu Tarbiyah (STIT) Madani, Yogyakarta, Indonesia dan syarikat Perwira Holidays Sdn. Bhd.
Majlis Penandatanganan MoU itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami bin Jahari dan Pengarah Urusan, Perwira Holidays Sdn. Bhd, Mejar (B) Tuan Haji Mohd Abdul Wahab Abdullah. Manakala, MoU secara dalam talian disempurnakan oleh Ketua, STIT Madani, Yogyakarta, Dr. Amrin Mustafa, M.H.
Menurut Prof. Ts. Dr. Arham, majlis hari ini bukan sekadar simbolik penandatanganan, tetapi ia adalah manifestasi komitmen UMK untuk mengukuhkan ekosistem pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan insan, seiring dengan visi UMK untuk menjadi peneraju dalam bidang keusahawanan berteraskan ilmu, budaya dan nilai kemanusiaan.
Beliau berkata, kerjasama ini juga sebagai usaha untuk memperkasakan komuniti melalui pendidikan dan kolaborasi. UMK beriltizam untuk memacu ke arah menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang tidak hanya menghasilkan graduan cemerlang, tetapi juga menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang memberi impak kepada masyarakat, industri dan negara. “Kerjasama strategik bersama DBP ini merupakan langkah penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan, khususnya dalam bidang penyelidikan dan penerbitan ilmiah.
“Melalui MoU ini, kita akan menggiatkan penerbitan karya-karya ilmiah, karya klasik dan karya agung, memperluaskan aktiviti penterjemahan dan menyumbang kepada pembangunan kurikulum serta pengajian berkaitan bahasa”.
“Di samping itu, pelajar UMK bakal mendapat manfaat melalui program latihan industri dan pembelajaran berasaskan kerja yang ditawarkan bersama DBP. Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI) khususnya akan menjadi teras pelaksana dalam kerjasama ini, termasuk dalam aspek pertukaran kepakaran serta pembangunan program Pembelajaran Sepanjang Hayat,” katanya pada Majlis Penandatanganan MoU di American Corner, Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu (PPI), UMK Bachok, Kelantan, hari ini.
Menurut Prof. Ts. Dr. Arham, kerjasama ini juga melibatkan syarikat Perwira Holidays Sdn. Bhd., yang mewakili sektor industri, untuk memastikan kurikulum dan pembelajaran di universiti ini terus relevan dan selari dengan kehendak industri.
Katanya, kolaborasi ini merangkumi pembangunan program akademik, penyediaan ruang pemerhatian dan latihan industri untuk pelajar, serta pelaksanaan program Work-Based Learning selama satu tahun.
“Selain itu, kerjasama ini juga melibatkan perkongsian tenaga pakar, pelaksanaan program mobiliti kakitangan, serta peluang pengajian untuk staf Perwira Holidays Sdn. Bhd. yang akan mengukuhkan lagi hubungan antara akademia dan industri”.
“Ini juga sejajar dengan agenda UMK dalam melahirkan graduan holistik, seimbang dan berdaya saing yang tinggi,” jelas beliau.
Sementara itu, UMK juga hari ini melaksanakan jalinan kerjasama dengan Sekolah Tinggi Ilmu Tarbiyah Madani (STITMA) Yogyakarta, Indonesia yang membuka ruang lebih luas kepada kolaborasi rentas negara dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan khidmat kepada masyarakat.
Katanya, kerjasama MoU ini membolehkan kedua-dua institusi membangunkan program pengajaran bersama, melaksanakan penyelidikan kolaboratif, serta merancang pelbagai aktiviti pembangunan sumber daya manusia, termasuklah latihan dan seminar di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Kolaborasi ini akan memperkukuhkan jaringan antarabangsa UMK, dan seterusnya menyokong sasaran universiti dalam meningkatkan visibiliti global dan memupuk pemahaman rentas budaya dalam kalangan pelajar dan staf akademik”.
Sementara itu, Dekan FBI, Prof. Madya Dr. Kamarulzaman Abdul Ghani berkata, kerjasama ini dapat menempatkan pelajar di industri yang sesuai mengikut bidang mereka.
Katanya, jalinan strategik seumpama ini seterusnya menjadi platform bagi semua pihak yang terlibat menyusun inisiatif merealisasikan aktiviti-aktiviti yang telah dipersetujui sepertimana yang tersurat dalam Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani bersama.
