02-Aug-2025

IKAN PATIN SEBERAT 7.8 KILOGRAM, JUARA PERTANDINGAN MEMANCING MERDEKA 2025


BACHOK 2 Ogos 2025 I Ikan patin seberat 7.8 kilogram membawa tuah kepada peniaga, Mat Din Yusof apabila membawa pulang hadiah utama Pertandingan Memancing Merdeka 2025 yang berlangsung di Tasik Utama, UMK Bachok, Kelantan.

Beliau sekaligus memenangi wang tunai sebanyak RM2,000.00, biarpun terpaksa mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum berjaya mendaratkan patin bersaiz besar pada jam 12.15 tengahari.

Menurut Mat Din, inilah kali pertama beliau menang selepas mencuba nasib sebanyak dua kali menyertai pertandingan memancing anjuran UMK.

Beliau tidak menyangka umpan cacing yang dibawa hari ini berjaya menarik perhatian patin untuk menyambar mata kailnya selepas empat jam menunggu kail dimakan ikan.

“Pada mulanya, sudah putus asa kerana masa sebenar pertandingan hanya berbaki 15 minit sahaja lagi sebelum kail disambar patin pada jam12.15 tengahari.

“Allhamdullilah, syukur menang pada hari ini rezeki untuk melayakkan diri saya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.00,” katanya.

Sementara tempat kedua dimenangi oleh En. Mohamad Haikal Bin Alias dari Gunung Bachok (RM1000) dan tempat ketiga ialah En Roslan Hussain dari Peringat, Melor (RM500).

Majlis penyampaian hadiah untuk tempat pertama hingga ketiga disampaikan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) selaku Manjalankan Fungsi (Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mohammad Ismail, Pendaftar UMK,En. Khairul Eruwan Abd Halim, Bendahari UMK, En Ahmad Irwan Baharuddin dan Pengarah Agro Techno Park, Prof. Madya Ts. Dr. Ch’ng Huck Ywih.

Sementara itu, pertandingan memancing anjuran ATP, Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi) ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,000.00 disertai lebih 116 pemancing dari seluruh Kelantan.

Pertandingan memancing edisi ketiga ini diadakan sebagai salah satu platform pengisian sambutan Hari Kebangsaan Ke 68 disamping menggalakkan aktiviti riadah untuk memperkukuhkan hubungan universiti bersama komuniti.

Selain itu, sebagai usaha untuk menjadikan pertandingan memancing sebagai acara tahunan kerana UMK Bachok, terdapat tasik yang begitu luas dan cantik untuk dijadikan aktiviti rekreasi air yang dapat menarik minat pelajar, warga UMK dan pengunjung luar.





ARCHIVE
2025
August (1)
May (2)
April (1)
2023
July (2)
2022
July (1)