Style Switcher

Layout options
  • Boxed Layout
  • Full Width Layout
Primary Color

Official Portal of Deputy Vice Chancellor's (Research & Innovation) Office

 

header

ProfSchool

ProfSchool5

BANGUNAN senibina berteknologi tinggi seperti Burj Khalifa di Dubai, Menara Abraj Al Bait di Makkah, Velo Tower di Korea Selatan, Guangzhhou Opera House dan keretapi laju Shanghai Maglev di China adalah antara pembinaan berteknologi tinggi abad ini yang merungkai segala persoalan makna sebenar dalam pengetahuan kejuruteraan sains dan teknologi pada masa kini.

Pembinaan bangunan dan kemudahan infrastruktur ini diiktiraf sebagai contoh pengurusan yang baik sebagai inspirasi dalam kejuruteraan reka bentuk menggabungkan teknologi canggih dan sains.

Dengan menggabungkan teknologi seperti itu bangunan ini berfungsi sebagai ikon global untuk pusat-pusat bandar masa depan bagi negara-negara membangun.

Justeru, Kementerian Pendidikan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) merancang pelbagai strategi bagi mengukuhkan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di peringkat sekolah melalui pendekatan baharu dengan memantapkan kurikulum yang menggabungkan kemahiran berfikir aras tinggi.

ProfSchool2

Bagi merealisasikan hasrat kerajaan itu, Majlis Profesor Universiti (MPU) Chapter Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) menjalinkan kerjasama strategik menganjurkan Program Prof@School 2018 fasa kedua dalam membantu meningkatkan prestasi pelajar sekolah dalam pelbagai bidang terutamanya bidang STEM.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, fasa pertama Prof.@School adalah melibatkan sebanyak 76 buah sekolah di seluruh negeri Kelantan membabitkan 60 sekolah menengah dan 16 sekolah rendah.

Beliau berkata, manakala pada fasa kedua tahun 2018 ditambah kepada 24 buah sekolah diseluruh Kelantan dengan menjadikannya 100 buah sekolah yang terlibat dalam Program Prof.@School pada tahun ini.

“Objektif utama program Prof.@School adalah untuk membantu mencemerlangkan pendidikan pada peringkat sekolah dengan membantu sebagai mentor kepada pelajar dan guru dalam bidang kritikal seperti sains, teknologi dan matematik.

ProfSchool3

“Profesor ini turun padang menjadi penceramah motivasi kepada pelajar dan guru dengan membantu guru dalam memperbaiki sistem penyampaian dan kompetensi guru disamping mengadakan program bukan akademik bersama dengan pihak sekolah seperti program pengukuhan ketrampilan pelajar, keceriaan sekolah atau kesukanan,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Prof.@School 2018, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, pada 7 Februari 2018.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Hassan Mohd Osman, Ketua Penolong Pengarah Sektor Jaminan Kualiti JPN Kelantan, Tuan Hj. Wan Ismail Wan Daud, Pengarah Pejabat Pengurusan Penyelidikan UMK, Prof. Dr. Jasni Sabri dan Ketua Penolong Pengarah Sains JPN, Tuan Hj. Wan Muhammad Zuri Wan Abdullah.

Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, program ini juga membantu dalam pengajaran dan pembelajaran bagi matapelajaran yang dikenalpasti seperti Bahasa Inggeris atau STEM.

ProfSchool4

Tambah beliau, keberkesanan program Prof.@School di peringkat fasa pertama telah berjaya meningkatkan kefahaman ibu bapa dalam pendidik STEM malah minat pelajar kepada bidang STEM juga semakin bertambah.

“Selain itu, program ini juga meningkatkan kesedaran dan komitmen guru dalam mata pelajaran STEM dan sekaligus meningkatkan kesedaran pihak berwajib tentang kepentingan STEM.

“Kita melihat para profesor telah memberi sumbangan besar dalam bimbingan kepada masyarakat dan membantu Negara dalam meningkatkan nisbah pelajar STEM,” katanya.

Sementara itu, Tuan Hj. Wan Ismail, berkata, Program ini merupakan program yang amat unik kerana seluruh sistem pendidikan dan sekolah hingga Universiti, ibubapa dan masyarakat memainkan peranan masing-masing bagi memantapkan sistem pendidikan di masa akan datang.

Katanya, para profesor UMK dan pihak sekolah akan memberi kerjasama dalam melaksanakan program ini sebaik mungkin memandangkan profesor merupakan role model kepada pelajar dan pendidik di peringkat sekolah.

“Kepakaran yang ada pada profesor ini seharusnya digunakan sebagai pakar rujuk dalam memperkasakan bidang kritikal seperti STEM. Ini adalah merupakan sumbangan yang amat besar, jika profesor di UMK dapat membantu melahirkan generasi muda yang berpendidikan STEM di masa hadapan,” katanya.

ProfSchool6

DALAM usaha mengembangkan portfolio Majlis Action Group Entrepreneurship (AGE) Council, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melancarkan buku Coffee Table berjudul Action Group Entrepreneurship: Memberi Nilai Kepada Jalinan Kerjasama Industri-UMK bagi menyokong penglibatan serta impak yang dibawa oleh pihak industri untuk menjayakan agenda keusahawanan dan bidang berkaitan di UMK.

UmkAgeCouncil4

Buku yang diterbitkan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dalam Bahasa Melayu setebal 120 halaman itu menghimpunkan maklumat merentasi berbagai skop termasuk bantuan kewangan, bimbingan, khidmat komuniti, perniagaan pelajar, program akademik pelajar, pembangunan kurikulum, program sangkutan staf akademik serta penyelidikan bersama.

Majlis pelancaran buku itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Hussaini Omar di Bilik Mesyuarat Senat, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 15 Januari 2018.

Terdahulu, Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah mempengerusikan Mesyuarat UMK AGE Council Bil. 1/2018 (Kali Ke – 6) dengan tujuan membincangkan jalinan kerjasama ahli UMK AGE Council.

Turut berlangsung ialah majlis pelancaran buku Menyelusuri Warisan Pelancongan dan Alam Semulajadi Lembangan Pengkalan Datu dan pelancaran Buku Takaful Pelindungku UMK Wealth Lab MFPC.

UmkAgeCouncil3Pada majlis sama, Tan Sri Hamad Kama Piah turut menyaksikan Majlis Pertukaran Perjanjian antara UMK dengan Creadit Guarantee Corporation dan pelancaran Program KPT-CELCOM SISWAPRENEUR @UMK.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, berkata, penerbitan buku Action Group Entrepreneurship: Memberi Nilai Kepada Jalinan Kerjasama Industri-UMK ini sebagai satu usaha merekodkan kepada umum tentang perkembangan dan pencapaian yang dilaksanakan serta jaringan kerjasama Majlis AGE-UMK menjalankan agenda keusahawanan.

Katanya, selain itu kandungan utama buku ini ialah berkenaan program dan aktiviti kerjasama akademik, penyelidikan dan inovasi, perkongsian ilmu dan pengalaman serta program tanggungjawab sosial.

“Buku tersebut memperjelaskan kerjasama antara Ahli Majlis AGE-UMK dengan pihak universiti yang dilaksanakan mengikut struktur yang mantap melibatkan perkongsian pengalaman dalam sektor korporat dan akademik.

“Selain itu, ia merangkumi pencapaian dan kejayaan program AGE Council seperti memperkasakan keusahawanan merangkumi pelancaran Outlet Avon Malaysia dan UMK - Avon Business Model, Program Endownment Pembangunan Usahawan oleh Nadicorp Holdings dan Pengurusan Kiosk Celcom Axiata Berhad,”   katanya.

UmkAgeCouncil2Tambah beliau, buku itu juga mengandungi program Pemasaran Produk UMK di Portal 11-Street, Pertandingan Business Apprentice bersama Distinct Legacy Sdn. Bhd dan Projek Incinerator dan Implementasi Panel Solar oleh Majulia Sdn. Bhd.

“Kandungan buku ini juga melibatkan program penyelidikan bersama Ahli AGE-UMK iaitu projek Incinerator dan Implementasi Panel Solar oleh Majulia Sdn. Bhd., program Case Study in Retail: Challlenges, Solutions and Outcome bersama Bumiputra Retailers Organization, Projek Kerjasama Rural Transformation Program for Mambong, Singgora, Serunding bersama Khazanah Nasional dan Projek SME Innovation Index bersama Agensi Inovasi Malaysia.

“Buku ini juga mencatatkan kerjasama Projek Perundingan Bagi Rekabentuk Landskap Dataran Cheng Ho, Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu dan program perkongsian ilmu dan pengalaman dalam Chairman Lecture Series UMK membabitkan Celcom Axiata Berhad, Permodalan Usahawan Nasional Berhad, Geo Solutions, Distinct Legacy Sdn Bhd dan Credit Guarantee Corporation,” jelas beliau.

Prof. Dato’ Dr. Ibrahim berkata, pada buku ini juga mencoretkan kejayaan jalinan kerjasama dalam memperkukuhkan agenda dalam insiatif AGE ini dengan pihak Universiti yang berjaya menandatangani Memorandum Persefahaman dan Persetujuan sebagai membuktikan kesungguhan industri menjalinkan kerjasama.

UmkAgeCouncil1

 

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menempa sejarah sebagai Universiti Awam pertama di Malaysia menjadi perintis kepada program Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT)-CELCOM Siswapreneur@UMK melalui kerjasama strategik UMK dengan Celcom Axiata Berhad.

Melalui kerjasama itu, Celcom Axiata Berhad menyerahkan dana berjumlah RM50,000 kepada UMK untuk dua buah 'food cart' yang lengkap dengan alatan menggoreng dan peti sejuk beku untuk kemudahan pelajar asnaf terpilih menjalankan perniagaan.

Majlis penyerahan Mockup Cek itu telah disempurnakan oleh Ketua Perhubungan Kerajaan dan Tanggungjawab Korporat Celcom Axiata Berhad, En. Saiful Bahrin Abd Ghaffar kepada Pengerusi Lembaga Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar di Bilik Mesyuarat Senat, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 15 Januari 2018.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.

Menurut En. Saiful Bahrin, pelaksanaan projek ini akan dimulakan di UMK pada Februari ini sebelum diikuti enam UA lain iaitu Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Katanya, menerusi pelaksanaan projek itu pihak Celcom Axiata Berhad telah memperuntukkan sebanyak RM350,000 untuk tujuh buah universiti awam dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

“Ini merupakan salah satu usaha Celcom Axiata Berhad dibawah kerjasama UMK-EI untuk menyumbang kepada pembangunan usahawan dengan merangka program bagi membantu pelajar dikalangan asnaf yang terpilih di setiap UA di negara ini.

“Dalam usaha membudayakan ekonomi digital dalam kampus, setiap ‘food car' juga akan sediakan kemudahan wifi dan aplikasi boos' bagi menggalakkan pembelian tanpa tunai,” katanya.

Sementara itu, Celcom Axiata Berhad juga telah melantik tiga buah syarikat siswa universiti sebagai agen jualan Celcom dengan membekalkan kiosk Celcom X-Pax dan kelengkapan promosi di tiga kampus UMK yang beroperasi setiap hari bekerja.

Tiga syarikat itu ialah Thinker Biz (UMK Kampus Kota), NSR Group Enterprise (UMK Bachok ) dan Starlight Enterprise (UMK Kampus Jeli).

Program pengurusan Kiosk Celcom ini memberi peluang kepada pelajar membentuk satu perniagaan yang menekankan kepada servis pelanggan dan jualan langsung disamping diberi latihan dan bimbingan tentang pengurusan acara dan program promosi jualan di bawah penyeliaan pihak Celcom.

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                     Foto : Al Azam Razi

 

DELEGASI Jawatankuasa Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Awam Malaysia telah mengadakan lawatan ke Lembangan Sungai Pengkalan Datu yang terletak di Mukim Sering, Kota Bharu, Kelantan, bagi mendapatkan maklum balas positif untuk dimajukan sebagai hab pelancongan baharu berasaskan warisan dan alam semulajadi.

Delegasi lawatan yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar telah diberi taklimat ringkas mengenai pelbagai usaha penyelidikan dan kerja lapangan yang sedang dipergiatkan oleh UMK bagi memastikan pembangunan LSPD dilaksanakan seperti yang dirancang.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, pihak UMK dengan kerjasama Persatuan Warisan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA) telah memulakan usaha penyelidikan untuk mengemukakan lebih banyak bukti-bukti yang berkaitan LSPD bertujuan untuk dokumentasikan tarikan, bahan-bahan sejarah dan warisan yang terdapat di kawasan tersebut.

Katanya, tugas utama ialah dengan menempatkan pelajar UMK khususnya pelajar daripada Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) untuk menjalankan aktiviti kajian dan penyelidikan berkaitan tarikan-tarikan yang terdapat di kawasan ini.

“LSPD mempunyai potensi besar untuk dibangunkan memandangkan kawasan ini amat strategik dan merupakan kawasan bersejarah serta pernah menjadi penempatan terawal Kesultanan Melayu Kelantan.

“Selain itu, terdapat pelbagai keunikan di kawasan itu termasuk pembuat wau dan artifak muzikal yang masih kekal di samping mewujudkan pasar terapung yang boleh meningkatkan sumber sosio ekonomi penduduk setempat,” katanya selepas lawatan River Cruise Timbalan Naib Canselor  (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Awam Malaysia, di Cerana Villa Resort, Sering, Kota Bharu, Kelantan, pada 10 Julai 2017.

Turut hadir, Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Madzlan Aziz, Penolong Naib Canselor (Penyelidikan  dan Inovasi) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof.  Dr. Hadariah Bahron dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Dr. Mashitah Mohd Yusoff

Hadir sama, Dekan FTKW, Prof. Madya Ahamad Tarmizi Bin Azizan dan Pengerusi WASPADA, Tn. Hj. Mohd Asri Hj. Husin.

Tambah Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, lawatan itu juga untuk melihat sejauh mana potensi untuk pihak universiti mendapatkan maklum balas, khidmat nasihat serta rujukan untuk tujuan penambahbaikan bagi projek pembangunan di kawasan tersebut.

“Lokasi ini mampu memainkan banyak peranan dalam meningkatkan sosiekonomi dan memperkenalkan budaya masyarakat,” jelasnya.

Sementara itu, Tn Hj. Mohd Asri berkata, LSPD memiliki keunikan dan sejarah serta merupakan sumber yang perlu dikekalkan dan dipulihara sebagai budaya tarikan pelancongan di Kelantan.

Beliau berkata, terdapat pelbagai produk pelancongan di sekitar LSPD seperti produk sejarah, alam semulajadi, agro pelancongan dan kesenian serta kebudayaan.

“Pihak WASPADA dengan kerjasama UMK berusaha untuk merealisasikan perancangan projek tersebut kerana LSPD mempunyai potensi besar untuk dibangunkan kerana kawasannya strategik malah terdapat industri pembuatan kuih tradisional dan perusahaan madu kelulut.

“Kita amat berharap LSPD yang dikordinasikan oleh semua agensi untuk membangunkan LSPD sebagai produk pelancongan baharu khususnya di bandar Kota Bharu untuk membantu penduduk disini dalam aspek pembangunan sosio ekonomi,” katanya.

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                      Foto : Al Azam Razi

PROGRAM Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang dilaksanakan oleh Institut Perusahaan Kecil Sederhana (ISME) dengan kerjasama  Syarikat Nera Infocom (M) Sdn Bhd merupakan salah satu strategi berkesan bagi melonjakkan kadar penembusan jalur lebar ke seluruh negara khususnya di kawasan pendalaman dan luar bandar.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar berkata, pihak universiti selaku institusi pengajian tinggi di negeri ini  sentiasa memainkan peranan membantu kerajaan dalam mengurangkan isu jurang digital di kalangan masyarakat .

Beliau berkata, perkembangan teknologi maklumat dan digital yang begitu pantas pada hari ini ini menjadi cabaran serta isu utama di kalangan masyarakat khususnya di pendalaman dan luar bandar.

“Justeru itu, program latihan dengan kerjasama yang dijalankan oleh pihak ISME dan industri ini adalah bertujuan untuk mengurangkan jurang digital dimana program ini dapat membuka ruang yang lebih luas kepada masyarakat untuk sama-sama menikmati perkembangan teknologi maklumat.

“Pelaksanaan program latihan ini antara sebahagian usaha yang mampu menyumbang kepada merapatkan jurang digital melalui perancangan program yang dibekalkan dan latihan dalam meningkatkan pengurusan teknologi digital kepada Pengurus dan Penolong Pengurus di 16 Cawangan PI1M di negeri ini,” katanya pada Majlis Graduasi Program Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi PI1M (Kelantan), di Bukit Keluang Beach Resort, Terengganu, pada 15 Julai 2017.

Turut hadir, Ketua Projek PI1M Kelantan, Prof. Dr. Mohamed Dahlan Ibrahim, Pemangku Pengarah ISME, Prof. Madya Dr. Mohd Nor Hakimin Yusoff dan Ketua Bahagian Pembangunan Modal, NERA Infocom (M) Sdn Bhd, Cik Mardziyah Wahab.

Seramai 32 Pengurus dan Penolong Pengurus PI1M telah berjaya menamatkan program latihan dan diraikan dengan meriah pada Majlis Graduasi selepas berjaya menamatkan latihan selama dua tahun bermula 1 Julai 2015 sehingga 31 Jun 2017 melibatkan latihan dan business coaching.

PI1M yang terlibat adalah PI1M Kg Jeram, PI1M Kg Gong Kulim, PI1M Kg Selising, PI1M Kg Kajang Sebidang, PI1M Bukit Tandak, PI1M Kg Lawang, PI1M Batu Gajah, PI1M Kg Cengal, PI1M Kg Semuba, PI1M Kg Repek, PI1M Kesedar  Lebir, PI1M Kesedar Chalil, PI1M Kesedar Jeram Tekoh, PI1M Felda Perasu, PI1M Kg Karangan dan PI1M Kusial.

Menurut Prof. Dr. Mohamed Dahlan, Nera Infocom (M) Sdn. Bhd. telah bersetuju melantik ISME sebagai konsultan atau training provider bagi program pembangunan usahawan berprestasi tinggi PI1M bagi negeri Kelantan untuk tempoh dua tahun.

Katanya, pihak ISME menyediakan latihan kepakaran kepada Pengurus dan Penolong Pengurus PI1M yang dilantik dengan melaksanakan program latihan selama dua (2) tahun bermula pada tahun 2015 menerusi  empat siri latihan keusahawanan dan empat siri latihan lestari.

“Objektif utama program latihan ini adalah sebahagian daripada hasrat kita untuk menjadikan Pengurus dan Penolong Pengurus ini sebagai agen perubahan kepada masyarakat di PI1M masing-masing.

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada 32 peserta program ini yang berjaya  menamatkan latihan mereka dan berharap mereka menggunakan kemahiran ini untuk membimbing dan memberi motivasi kepada masyarakat di sekitar PI1M yang sewajarnya untuk berkongsi maklumat ini untuk mereka mahir dalam bidang digital,” jelas beliau.

Sementara itu, Cik Mardziyah berkata NERA merupakan sebuah syarikat pembangunan telekomunikasi dan bertindak sebagai penyelaras projek bagi menyediakan infrastruktur dan program pembangunan staf bagi PI1M di bawah pengurusan pihak Maxis Berhad.

Beliau berkata, Nera Infocom (M) Sdn Bhd telah melantik ISME sebagai konsultan atau Training Provider bagi Program Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi Pusat Internet 1Malaysia di negeri Kelantan.

“Pihak kami berharap melalui kerjasama ini, Pengurus dan Penolong Pengurus PI1M dapat memberi komitmen dan beriltizam untuk melaksanakan amanah serta tugas dengan baik bagi pembangunan sosio ekonomi kepada penduduk setempat.

“Selain universiti awam, pihak Nera Infocom juga tururt mejalin kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), SME Corp dan Lazada bagi melahirkan lebih banyak usahawan digital di kawasan komuniti yang disasarkan,” katanya.

itex2017

PENYELIDIK UMK BOLOT DUA PINGAT EMAS DAN ENAM PERAK

PRODUK N-Macom: Nano Magnectic Adsorbent Composite yang dibangunkan daripada bahan sisa agro dan tumbuhan terbuang yang membolehkan teknologi nanomagnetik dihasilkan bagi kegunaan merawat air sisa industri memperoleh pingat emas dalam kategori Alam Sekitar dan Tenaga Boleh Diperbaharui pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa Ke-28 (ITEX 2017) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Jalan Pinang, Kuala Lumpur, pada 11 hingga 13 Mei 2017.

Kajian itu adalah rekaan oleh penyelidik Fakulti Industri Asas Tani, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) iaitu Prof. Madya Dr. Palsan Sannasi Abdullah dengan kumpulan penyelidik yang terdiri daripada En. Rizki Wannahari dan Dr. Mariam Firdhaus Mad Nordin.

Menurut Prof. Madya Dr. Palsan Sannasi, teknologi produk nano magnetik adalah penemuan penting dalam kajian penyelidikan ini bagi mengurangkan pencemaran air yang berpunca daripada bahan pencemar toksik seperti logam berat dan pewarna oleh kebanyakan pengusaha industri kecil dan sederhana di kawasan Pantai Timur.

Beliau berkata, produk NmaCom dibangunkan daripada bahan sisa agro dan tumbuhan yang terdiri daripada  kulit manggis, daun kering, jagung dan sebagainya yang melalui proses karbonisasi, pengaktifan serta pemagnetan khusus yang lebih mesra alam.

“Penghasilan produk ini bagi merawat air yang tercemar bagi pengunaan industri berikutan kebanyakan industri pembuatan batik menghadapi kekangan kos, kepraktikalan, teknikal, penyelenggaraan jika mengguna-pakai sistem perawatan fiziko-kimia yang sedia ada di pasaran yang lebih mahal mahal,” katanya

Sementara itu, turut menyumbang emas ialah produk Press (Palted Rubber System) hasil penyelidikan oleh  Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), En. Razman Hafifi Redzuan bersama Prof. Dr. Mohamed Dahlan Ibrahim, Prof. Dr. Mohd Rosli Mohamad, Prof. Madya Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein, Dr. Mohd Zulkifli Muhammad dan Encik Ahmad Ridhuwan Abdullah.

Kajian yang dibuat oleh En. Razman Hafifi dengan memperkenalkan produk pengawalan identifikasi bagi menangani kes kecurian getah yang semakin berleluasa berikutan ekoran peningkatan harga getah yang tinggi di pasaran pada hari ini. 

Beliau berkata, acuan identifikasi getah itu dihasilkan pada pembuatan bekas getah dengan secara makronya inovasi ini telah terbukti mampu mengurangkan kerugian yang tidak sepatutnya namun secara mikronya dengan mengunakan konsep ini ia mampu membantu perancangan penanaman getah yang lebih sistematik dan menghasilkan susu getah yang optimum.

“Produk ini membolehkan pihak kami mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah kecurian getah dengan mewujudkan identifikasi getah bagi setiap ladang dimana dengan pengawalan identifikasi yang dikeluarkan oleh pihak syarikat Agri’Pro dengan kerjasama RISDA Malaysia bagi pengawalan identifikasi setiap ladang.

“Setiap peraih dan pemborong getah mempunyai akses kepada data pemilik ladang. Identifikasi yang dinyatakan terdiri daripada huruf dan nombor dan dengan kemudahan ini digunakan sebagai pengenalan pekebun/pemilik, yang merupakan pengiktirafan UMK kepada pekebun kecil getah yang menjadi penyumbang besar kepada pengeluaran getah negara,” jelas beliau.

Dalam pada itu, enam produk inovasi penyelidik UMK  menjadi penyumbang pingat perak di ITEX 2017.

Produk tersebut  ialah High Frequency Super Capacitor CCTO hasil penyelidikan oleh Timbalan Dekan Fakulti Biokejuruteraan Dan Teknologi, Prof. Madya Dr. Ir. Julie Juliewatty Mohamed, produk G Technique oleh Pensyarah Kanan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), En. Mohammad Amizi Ayob dan            produk penyelidikan teknologi pembiakbakaan anak benih pisang bertajuk Tisc-Tech’ On-Farm Nursery Technique For Acclimatization Of Tissue-Cultured Banana Seedlings oleh Pensyarah Kanan FIAT, Dr. Suhaimi Othman.

Turut menyumbang pingat perak ialah produk rekaan aplikasi telefon pintar iaitu Entrepreneurial Characteristic Anndroid Mobile Game – Freezer ciptaan oleh Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Prof. Madya PM Dr. Mohamad Ismail, produk inovasi Pengajaran dan Pembelajaran bertajuk Designing Of Research Ideantion Canvas : Visualize Research Ideas From Strategic Perspectives oleh Ketua Bahagian Pusat Keusahawanan Global, Penyelidikan & Inovasi, Dr. Nik Zulkarnaen Khidzir  dan produk Herbal Rice Syrup oleh Dekan Fakulti Sains Bumi, Prof. Madya Dr. Aweng A/L Eh Rak  

ITEX 2017 adalah merupakan pameran ciptaan terbesar diperingkat antarabangsa bagi pencipta dan penyelidik mempamerkan idea-idea baharu dan produk mereka kepada pengeluar, pelabur, pengedar, syarikat pelesenan dan orang awam.

Pameran itu dianjurkan oleh  Persatuan Rekacipta dan Rekabentuk Malaysia (MINDS), mempertandingkan 23 kategori dan mendapat penyertaan lebih 1000 produk penyelidikan dari lebih 20 negara yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 11 sehingga 13 Mei 2017.

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat               Foto : Al Azam Razi

PRESIDEN  Kumpulan SEGI University & College selaku ahli Majlis Kumpulan Tindakan Keusahawanan (AGE Council) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dato’ Mohamed Azahari Mohamed Kamil, menyerahkan sumbangan zakat peribadi kepada 100 pelajar asnaf UMK dan 52 asnaf kariah Masjid Mukim Kamil Hassan.

Beliau ketika ditemui memberitahu pengagihan sumbangan zakat peribadinya itu sudah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu khususnya kepada Masjid Mukim Kamil Hassan dan ini adalah kali pertama melibatkan penuntut universiti iaitu daripada UMK.

Katanya, sumbangan dan bantuan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu pelajar bagi tujuan pembelajaran dan persediaan menyambut kehadiran bulan Ramadan al Mubarak tidak lama lagi.

“Masyarakat atau sesiapa sahaja yang berkemampuan sewajarnya mengeluarkan zakat kepada pelajar yang memerlukan dan golongan yang kurang berkemampuan agar dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya selepas majlis penyampaian zakat kepada mahasiswa UMK dan asnaf kariah Mukim Kamil Hassan, Kampung Cabang Tiga Pendek , Kota Bharu, Kelantan, pada 18 Mei 2017.

Turut hadir,  Dekan Fakulti Seni Bina dan Ekistik, Prof. Madya Ab Aziz Bin Shuaib serta Pengarah Pusat Islam UMK, Prof. Madya Dr. Mohd Zain Bin Mubarak.

Menurut Dato’ Mohamed Azahari,  mengambil peluang untuk menjemput mahasiswa/i asnaf untuk bersama-sama mengimarahkan Masjid Kamil Hassan dengan meraikan pemberian zakat bagi membantu mereka yang memerlukan.

Beliau berkata, setiap tahun pemberian zakat dilakukan di Mukim Kamil Hassan dan ini adalah kali pertama yang melibatkan ketiga-tiga kampus dengan kerjasama UMK.

“Selain itu, melalui sumbangan itu pihak Masjid Kamil Hassan dapat menganjurkan pelbagai program sepanjang bulan Ramadan seperti ceramah dan majlis berbuka puasa bersama-sama pelajar UMK dan ahli kariah.

“Ini adalah tanggungjawab sosial kami sekeluarga bagi membantu golongan yang memerlukan dan melalui program ini dapat memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja untuk sentiasa saling membantu antara satu sama lain, jelasnya.

Sementara itu, Dato’ Mohamed Azahari berkata, pihaknya kini sedang berusaha keras untuk membangunkan sebuah pusat tahfiz di masjid tersebut.

“Pusat tahfiz yang didirikan di hadapan masjid ini sudah hampir 30 peratus siap dan masih memerlukan suntikan dana.

“Kos anggaran bagi penubuhannya mencecah RM500,000 dan setakat ini, kami berjaya mengutip RM150,000 daripada orang ramai," katanya.

Tambahnya, beliau akan berusaha mencari lagi dana daripada golongan berkemampuan serta syarikat korporat untuk mendapatkan jumlah yang cukup bagi menyiapkan pusat tahfiz tersebut.

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat              Foto : Al Azam Razi

PENASIHAT Sosio-Budaya Kerajaan Persekutuan, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, berhasrat untuk membawa hasil kajian dan penyelidikan oleh Kluster Warisan dan Peradaban UMK, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)  berkaitan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (LSPD) kepada Kerajaan Pusat memandangkan kawasan itu kaya dengan khazanah warisan dan nilai sejarah.

Beliau berkata, keunikan dan kewujudan sejarah yang tersendiri di LSPD termasuk warisan alam semulajadi yang menarik mampu menjana pendapatan sampingan kepada penduduk di kawasan itu terutamanya dalam sektor pelancongan.

Justeru itu, beliau mencadangkan UMK mewujudkan sebuah jawatankuasa kecil bersama bagi membuat penyelidikan terperinci bagi melihat LSPD yang terletak di Mukim Sering sebagai kawasan tumpuan pelancongan. 

“Dengan adanya jawatankuasa seumpama itu akan memudahkan perancangan dan keutamaan yang perlu diberikan untuk membangunkan projek tersebut khususnya dari aspek mewujudkan pemerhatian terhadap pembudayaan warisan dan sektor pelancongan yang terdapat di kawasan ini.

"Saya percaya keunikan dan sejarah pembangunan Sungai Pengkalan Datu di negeri ini merupakan sumber pelancongan yang perlu dikekalkan dan dipulihara sebagai budaya tarikan pelancongan di Kelantan,” katanya ketika merasmikan pelancaran buku Jejak Warisan dan Pembangunan Lembangan Sungai Pengkalan Datu, di Restoran Cerana, Kota Bharu, Kelantan, 22 Mei 2017.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’. Dr. Mortaza Mohamed, Prof Adjung FTKW, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar, Dekan FTKW,  Prof. Madya Ahamad Tarmizi Azizan, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), FTKW, Dr. Raja Iskandar Raja Halid dan Pengerusi Persatuan Warisan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA), En. Mohd Asri Husin.

BukuCeritaKelantan4

Sebelum itu, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim  menghadiri Program Pidato Warisan dan Peradaban Melayu yang telah disampaikan oleh Tan Sri Datuk Wira Abdul Latif yang bertajuk Perjuangan dan Cabaran Memartabatkan Warisan dan Peradaban Melayu.

Beliau turut merasmikan majlis pelancaran dua buah buku bertajuk Cerita Rakyat Kelantan dan Perjuangan Tok Janggut Menentang Inggeris di UMK Kampus Bachok. 

Penerbitan buku Warisan Cerita Rakyat Kelantan memuatkan sebahagian kisah yang dikumpulkan oleh 230 pelajar Kursus Tradisi Lisan FTKW 2016 bawah penyeliaan Tan Sri Dato’ Wira Abdul Latiff manakala buku Perjuang Tok Janggut Menentang Inggeris pula mengisahkan perjuangan tokoh itu menentang Inggeris hasil hasil pembentangan sarjana dalam seminar perjuangan Tok Janggut pada September 2016 sempena memperingati 100 tahun perjuangan Tok Janggut di Kelantan (1915-2015).

Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais, berkata, projek LSPD perlu dilihat sebagai sumber sejarah dan bagaimana harus dijadikan sebagai inspirasi kepada perancangan pelancongan dan warisan negara.

Beliau percaya bahawa Resolusi Kongres yang diadakan baru-baru ini dapat diterjemahkan di negeri Kelantan dan UMK sebagai peneraju program Hal Ehwal Warisan dilihat sebagai penyumbang nilai serta penyokong kepada usaha ini.

“Setiap pembangunan dan warisan yang ada akan membawa pelbagai kepentingan kepada seluruh masyarakat kerana kedua-duanya mempunyai manfaat dan penambahbaikan untuk masyarakat.

“Ini memandangkan terdapat pelbagai keunikan di kawasan itu termasuk pembuat wau dan artifak muzikal yang masih kekal, di samping pasar terapung yang boleh meningkatkan sumber ekonomi negara. Oleh itu,  sudah tiba masanya Kerajaan Pusat memberi perhatian terhadap pembangunan sungai berkenaan dan melihat warisan itu lebih dekat memandangkan ia menghasilkan satu perkembangan yang produktif,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais berkata kedudukan bahasa Melayu perlu ditegakkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan dan yakin bahawa Bahasa Melayu mampu cemerlang seperti bahasa antarabangsa lain.

"Kita perlu memartabatkan bahasa Melayu dan pada masa yang sama tidak mengetepikan bahasa lain malah kita mahu Bahasa Melayu sama penting dengan Bahasa Inggeris.

“Bahasa adalah identiti sesuatu bangsa yang menjadi tonggak kemajuan sesebuah peradaban. Kita tidak mahu warisan bangsa ini dibunuh oleh orang Melayu sendiri,” katanya.

Oleh : Aiman Syazwan    Foto : Al Azam Razi

DALAM usaha menggalakkan pembudayaan minda kreatif dan inovatif di kalangan warga kerja perkhidmatan awam di negeri ini, Malaysia Productivity Corporation (MPC) menganjurkan Konvesyen Mini Team Excellence Wilayah Pantai Timur yang telah diadakan di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan pada 4 April 2017.

Konvesyen TE dianggap satu platform bagi mengiktiraf projek inovatif dan kreatif yang telah berjaya dilaksanakan di organisasi  dengan menyediakan platform bagi aktiviti penanda arasan dari aspek perbandingan tahap pencapaian impak projek di antara organisasi yang menyertai konvensyen ini.

Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turut tidak ketinggalan menyertai pertandingan tersebut dan berjaya merangkul empat pingat emas.

Pada tahun ini, sebanyak 17 kumpulan yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dalam pengurusan organisasi mengambil bahagian untuk mempamerkan kreativiti dan inovasi masing-masing.

Bagi setiap kategori yang dipertandingkan, kumpulan UMK yang terdiri daripada Ad Hoc, 4-rest, Sopro dan Adrenalin berjaya menambat hati para juri terhadap servis dan produk yang dihasilkan dari aspek penambahbaikan serta penjimatan kos yang efisyen.

Pingat emas yang diraih oleh kumpulan Ad Hoc adalah menghasilkan inovasi kaca mata untuk memudahkan pelukis mendapat titik pusat manakala kaedah pembiakan pokok menerusi Teknologi Lenturan Udara (tut) hasil ciptaan kumpulan 4-rest.

Disamping itu, sistem pengumpulan data penerbitan dan penyelidikan yang dilakukan oleh kumpulan Sopro memberi kemudahan yang sistematik sehingga mampu menjimatkan kos sehingga RM 206,000 setahun dan kumpulan Adrenalin turut menyumbang pingat emas terhadap perkhidmatan kemudahan servis kenderaan yang dilakukan.

Menurut Pengerusi MPC, Encik Nik Faizal Nik Ahmad berkata, program ini adalah bertujuan untuk mengetengahkan hasil inovasi termasuk proses, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), teknikal, serta penjimatan kos yang digunakan oleh setiap organisasi.

Selain itu, menerusi konvensyen mini ini setiap kumpulan mempamerkan kreativiti terhadap produk ciptaan mereka menerusi idea yang mampu memberi sumbangan besar terhadap syarikat.

“Penganjuran Konvensyen KIK juga akan membantu setiap agensi secara keseluruhannya dalam menambah baik segala urusan seperti memperkenalkan produk untuk meningkatkan kecekapan kerja dan penciptaan sistem yang lebih berkesan.

“Program ini turut memberi peluang kepada setiap kumpulan untuk mempersembahkan projek penambahbaikan yang mampu memberi impak positif kepada organisasi serta meningkatkan imej ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Oleh : Syarimie Wosley dan Aiman Syazwan     Foto : Abd. Halim Abd . Aziz

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menerima pengiktirafan Malaysian Book of Record (MBOR) untuk Penanaman Pokok Karas Terbanyak dengan catatan rekod sebanyak 6,000 anak pokok karas atau gaharu di Bukit Gaharu, Taman Agro UMK Kampus Jeli, Kelantan, pada 21 Mac 2017.

Catatan rekod baharu itu berjaya mengatasi rekod lama yang dibuat oleh Pejabat Ahli Parlimen Ledang, Johor, yang menanam sebanyak 3004 anak pokok gaharu pada Disember 2016. 

Program penanaman pokok gaharu yang di kategorikan antara spesis pokok terancam itu adalah anjuran Fakulti Sains Bumi (FSB) dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MITB) dan TESCO.

Majlis penyerahan plak sijil pengikitirafan rekod baharu itu telah disempurnakan oleh wakil MBOR, En. Muhammad Shukri Hairon Nahar kepada Pengarah Hutan Ladang  MTIB, Tn. Hj. Kamaruzaman Othman dan Pensyarah Kanan FSB, Prof. Madya Dr. Hashim Md Noor  dengan disaksikan oleh Penyelaras Program,  Dr. Noor Janatun Naim Jemali.

Turut hadir, Ketua Jabatan FSB, Encik Zulhazman Bin Hamzah, Timbalan Dekan, Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, Prof. Madya Dr. Julie Juliewatty Mohamed dan Ketua Jabatan Penolong Pengarah Hutan Ladang MTIB, En. Mohd Zamakhsyary Mustapa. 

Menurut Tn. Hj. Kamaruzaman, program  penanaman pokok karas terbanyak di Malaysia ini adalah kesinambungan kepada termeterainya perjanjian bagi Program Penghijauan Bumi yang dibuat  pada 17 Februari 2014 bagi penanaman 10,500 pokok. 

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 4000 pokok Karas dan 500 rumpun Buluh Madu telah ditanam di kawasan Taman Agro dan  penanaman 6,000 pokok Karas pada hari ini adalah bagi melengkapkan penanaman di bawah perjanjian tersebut.

“Syukur ke hadrat Allah SWT di atas izin dan rahmat-Nya pada hari ini percubaan bagi menanam pokok karas terbanyak di Malaysia ini telah berjaya disempurnakan dan seterusnya disahkan oleh wakil MBOR yang turut bersama-sama kita memantau proses penanaman pokok gaharu ini,” katanya pada majlis Program Sambutan Hari Perhutanan Sedunia 2017 dan MBOR bagi Penanaman Pokok Karas Terbesar, di Taman Agro UMK kampus Jeli.

Tambah beliau, industri Karas dan Gaharu telah lama bertapak di negara ini dan bukanlah sesuatu yang baru pada kita semua kerana telah sekian lama menjadi kegunaan seharian sebagai bahan aromaterapi, minyak wangi serta sabun dan lain-lain kegunaan lagi.  

“Saya juga difahamkan bahawa industri Karas dan Gaharu di negara ini mula meningkat populariti dengan mendadak bermula tahun 2005 dan tahun demi tahun, industri ini dilihat berkembang pesat dengan bertambahnya bilangan ladang Karas di Malaysia.  

“Berdasarkan statistik eksport Malaysia 2016, nilai eksport ba

gi produk Karas dan gaharu mencatat RM15.16 juta mencatatkan peningkatan sebanyak 15 peratus jika dibandingkan pada tahun 2015 sebanyak RM13.19 juta,” ujar beliau.

Manakala dari segi penanam Karas pula, sehingga Mac 2017, sebanyak 115 syarikat/individu telah berdaftar dengan MTIB dengan keluasan sebanyak 1,491 ha dan 1.34 juta pokok Karas yang telah ditanam.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Hashim selaku Ketua Projek Penanaman Gaharu berkata, program penanaman  pokok karas ini adalah sempena Sambutan Hari Perhutanan Sedunia 2017 (kali ke 46)  yang disambut pada tarikh 21 Mac setiap tahun dan program ini juga adalah sempena sambutan 10 tahun penubuhan UMK.  

Katanya, pada hari ini kita telah berjaya memecahkan rekod penanaman terbesar pokok Karas di Malaysia dengan menanam 6,000 pokok karas di dua kawasan terpilih di Agropark yang membabitkan keluasaan 2.4 hektar yang sekaligus berjaya memecahkan rekod lama MBOR.

“Projek penanaman anak pokok karas ini membabitkan seramai 450 peserta termasuk 50 pensyarah serta ahli Kelab ExploRimba SEH yang bermula seawal jam 7.30 pagi dan anak pokok karas terakhir berjaya diselesaikan pada jam 12 tengahari. 

“Pemilihan spesies pokok Karas dibuat memandangkan kepada potensi pokok ini dalam pengeluaran gaharu (minyak gaharu dan kayu gaharu) yang bernilai tinggi dan kita mendapat tahu yang kayu gaharu gred terbaik dapat dijual pada harga melebihi RM15,000.00 sekilogram manakala harga minyak gaharu boleh mencecah RM50,000.00 sekilogram,” katanya.

Tambah Prof. Madya Dr. Hashim, objektif program penanaman pokok karas ini juga bertujuan untuk pemeliharaan biodiversiti dan program penghijauan kampus.

“Harapan kami pokok karas yang ditanam pada hari ini dapat hidup subur dan tumbuh menjadi hutan karas yang produktif,” katanya.

Oleh : Syarimie Wosley, Nor Alizam Shafie Aiman Syazwan     Foto : Al Azam Razi

PENGGEMAR jenama produk kecantikan wanita terkenal, AVON yang tinggal di Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan sekitar Negeri Kelantan kini tidak lagi perlu bersusah payah untuk mencari lokasi terdekat wakil jualan untuk mendapatkan produk tersebut.

Ini kerana, syarikat Avon Cosmetics (Malaysia) Sdn. Bhd., secara rasminya melancarkan butik kecantikan pertamanya yang terletak di dalam Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, yang dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa dibawah seliaan Majlis Kumpulan Tindakan Keusahawanan (AGE Council) dan AVON Malaysia.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pembukaan outlet Avon yang pertama di Universiti Awam (UA) itu merupakan program inkubator pelajar dimana manfaatnya adalah untuk memberi pendedahan perniagaan sebenar kepada para pelajar selaras dengan objektif UMK.

Beliau berkata, ini adalah hasil idea UMK bersama Avon Malaysia untuk pelajar mendapat pengalaman sebenar menjalankan perniagaan dan memahami skop keusahawanan.

“Pihak universiti telah menyediakan pelbagai program pengajian dan latihan dengan memberi penekanan kepada pembudayaan keusahawanan dan pembangunan insaniah.

“Di dalam pelaksanaan outlet ini pelbagai program telah dirancang bersama pihak AVON dan UMK yang akan dilaksanakan secara berperingkat diantaranya adalah strategi pemasaran, kecantikan, penampilan diri dan juga keyakinan diri,” katanya selepas majlis perasmian Outlet Avon UMK, pada 10 April 2017.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Pengarah Avon Cosmetics Malaysia, En. Azlan Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Hj. Ibrahim Che Omar.

Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah, berkata, pembukaan butik itu akan dipantau oleh Global Entrepreneurship Research and Innovation Centre (GERIC) bagi melancarkan operasi perniagaan yang merangkumi proses pengurusan jualan langsung, rantaian bekalan dan pengendalian stok.

Katanya, menerusi outlet ini pihak Avon dengan kerjasama universiti bukan sahaja melihat peluang ini untuk meraih keuntungan semata-mata tetapi sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan memberi peluang kepada pelajar berjinak-jinak dengan dunia keusahawanan.

“Pendedahan awal sebegini penting untuk menyuntik pengalaman sebenar menjalankan perniagaan dan memahami skop keusahawanan sebelum mereka menceburi bidang ini kelak,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata, jalinan kerjasama ini dilihat bukan sahaja untuk meningkatkan kemahiran insaniah pelajar dalam bidang keusahawanan tetapi juga melatih pelajar untuk lebih berkeyakinan dalam penampilan yang bersesuaian.

Katanya, pelancaran outlet Avon-UMK akan memberi pendedahan dan peluang perniagaan yang sebenar kepada pelajar-pelajar UMK khususnya merangkumi strategi perniagaan dan pengendalian stok serta pemasaran.

Sementara itu, En. Azlan berkata, butik kecantikan yang pertama di UA ini memberi peluang strategik untuk mengembangkan pelaksanaan kempen ahli Avon Young Club menerusi program kempen di kampus-kampus UA dan IPTS di seluruh negara.

“Program ini adalah sebahagian daripada usaha untuk pihak syarikat kami melahirkan usahawan muda dengan memberi peluang strategik untuk kepada pelajar mengembangkan rangkaian perniagaan Avon Cosmetics Malaysia yang sudah bertapak selama 40 tahun di negara ini.

“Dengan kerjasama AGE Council, pihak kami akan terus membimbing dan membantu pelajar-pelajar yang dilantik sebagai pengedar kami selain berpeluang memperoleh pendapatan sampingan dan mereka juga berpeluang belajar mengenai penampilan diri yang bersesuaian melalui pakar kecantikan Avon

Oleh : Nor Alizam Shafie        Foto : Abd. Halim Ab. Aziz

BWX1

JELI berpotensi menjadi hab pengeluar pokok buluh dan sekaligus dikenali sebagai Green Bamboo Valley  berikutan potensi sumber alam yang terdapat di kawasan daerah tersebut.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, menyarankan supaya Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) serta beberapa agensi kerajaan berkaitan untuk menjalankan penyelidikan mengenalpasti potensi dan strategi terbaik memajukan industri buluh.

Justeru itu, dengan pelaksanaan itu daerah Jeli mampu untuk mengetengahkan hasil produk buluh tempatan di pasaran domestik dan luar negara turut menjadi kenyataan.

“Selain itu, usaha ini dapat membangunkan potensi dan pengkomesialan teknologi pembuatan buluh yang menjadi perintis kepada usaha berkenaan,” katanya pada perasmian Bamboo World Xplorations 2017 (BWX 2017), di UMK Kampus Jeli, Kelantan, pada 19 Mac 2017.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, Pengerusi Global Innovation & Entrepreneurship Foundation (GIEF), Dato’ Ghazi Sheikh Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MAGIC), En. Ashran Dato’ Ghazi dan Presiden Malaysia Bamboo Society, Tuan Hj. Ahmad Mazlan.

Program BWX 2017 adalah anjuran UMK melalui Fakulti Sains Bumi (FSB) dengan kerjasama Global Innovation and Entrepreneurship Foundation (GIEF) telah berlangsung pada 18 sehingga 20 Mac 2017.  

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata, penganjuran program ini adalah bertujuan merapatkan hubungan antara UMK dengan masyarakat luar dalam memanfaatkan sumber alam semulajadi khususnya pengkomersilan produk buluh.

Katanya, program BWX2017 ini membawa visi yang jelas untuk mengetengahkan kesedaran masyarakat Jeli khususnya tentang pengkomersialan produk buluh disamping memberi pendedahan dan galakan kepada masyarakat setempat untuk menceburkan diri dalam industri buluh

“Bagi merealisasikan hasrat tersebut, pihak UMK telah menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak GIEF beberapa agensi kerajaan dan syarikat swasta yang terlibat dengan mengambil bahagian dalam pameran dan karnival tersebut,” katanya.

Penganjuran program BWX 2017 juga adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat dengan memberi fokus kepada masyarakat Jeli, pelajar dan ahli akademik universiti dengan memberi pendedahan menerusi pelbagai aktiviti, pameran dan ceramah berkaitan buluh serta produk berasaskan buluh.

Page 3 of 4

Visitor Counter

Today
Month
100
3544

Online (15 minutes ago):15
15 guests

Contact Us


Deputy Vice Chancellor's (Research and Innovation) Office
Universiti Malaysia Kelantan, Locked Bag No 01, 
16300 Bachok, Kelantan.

Tel : +609 - 779 7400 | Fax: +609 - 771 7022
Best View: 1280 x 800

 

Join us on Facebook