Style Switcher

Layout options
  • Boxed Layout
  • Full Width Layout
Primary Color

Official Portal of Deputy Vice Chancellor's (Research & Innovation) Office

 

header

MEDLIT

MEDLIT7KUALA LUMPUR 5 Mac 2018 – Dunia kini berhadapan dengan perubahan dengan sangat pesat menjadikan kita berada dalam dunia tanpa sempadan, mudah dihubungi dan dihujani  dengan berbagai maklumat dengan ledakan digital yang secara umum dikategorikan mengikut impak yang dibawa.

Maklumat ini yang hadir dalam bentuk media cetak, elektronik, internet, dan berbagai  enjin seperti FB, Twitter, whatapps, Instagram yang  yang kesemuanya dikelompokkan sebagai media baru.

Siapakah yang sebenarnya bertanggung jawab untuk memastikan maklumat yang diterima tidak akan memberi impak negatif kepada masyarakat dan Negara? Yang ingin ditekankan adalah masyarakat sebenarnya bertanggung jawab dalam pengurusan ledakan maklumat ini, pelajar, ibu bapa, guru, pemimpin tempatan,  ahli masyarakat dari semua profesion dan setiap individu dalam masyarakat.  

Tugas pemerintah atau kerajaan adalah untuk menyediakan ekosistem digital bagi tujuan  mendidik  rakyat dalam  mengendalikan maklumat ini. Ini adalah sebenarnya maksud media literacy iaitu memberi pendidikan untuk mengendalikan maklumat.  

MEDLIT6Seluruh masyarakat perlu sedar yang maklumat yang banyak ini atau dikenali sebagai Data Raya sekira tidak dikawal secara bijaksana ia boleh memberi impak yang merosakkkan. Sebaliknya, maklumat ini perlu dikendali untuk memberi faedah yang besar.

Justeru itu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) selaku sebuah Universiti Awam (UA) di negara ini berkoloborasi  dengan enam buah negara menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa Literasi Media atau International Conference Media Litearcy-ICMEDLIT 2018, yang berlangsung selama dua hari di Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor, pada 5 hingga 6 Mac 2018.

MedLit atau Media Literacy merujuk kepada kemampuan ahli atau individu dalam masyarakat untuk memahami peranan penting media dalam mengubah masyarakat dan menentukan kestabilan sosio-ekonomi serta politik sesebuah Negara.  

MEDLIT1Beliau berkata, kita sedia maklum bahawa media adalah alat yang menjana maklumat sama ada secara bercetak, elektronik atau media baru dengan berbagai sumber.

Media literacy atau celik media ini memberi pengertian bahawa seseorang yang celik media bukan hanya akan mampu untuk memperoleh maklumat, tetapi menggunakan dengan bijak, menilai dan mewujudkan maklumat baru membuat  pentafsiran yang berasaskan pengetahuan yang sebenar.

Mereka yang mempunyai keupayaan celik media yang rendah akan menerima maklumat seperti ianya disampaikan dan gagal untuk membuat penilaian ke atas maklumat yang diperoleh.

Menurut Ketua Projek UMK ICMEDLIT & Pengerusi 1st International Media Literacy for Social Change (ICMEDLIT) Conference 2018, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, media literacy menjadi nyata apabila sesebuah masyarakat didokong oleh sistem serta budaya media yang mantap dimana tahap media literacy itu berubah dari sebuah Negara ke Negara yang lain, dan perubahan ini dikaitkan dengan kepelbagaian dalam sistem dan budaya media dalam masyarakat sesebuah Negara.

MEDLIT4Beliau berkata, persidangan ini adalah satu wadah untuk menjelaskan dan memberi kesedaran  kepada masyarakat  bahawa  dunia teknologi maklumat ini akan mampu menentukan halatuju sebuah Negara.  

”Persidangan ini dianjurkan bersama dengan enam buah Negara iaitu Thailand, Vietnam, Austria, Netherlands dan Germany  yang menganggotai  geran penyelidikan dalam media literacy di bawah Geran Erasmus + Kesatuan Eropah.  

”Kita akan dapat lihat, peranan media dalam menilai pembangunan  sosio-ekonomi  serta kestabilan politik sesebuah Negara, di samping mengukuhkan nilai dan budaya negara,” katanya.

Tambah beliau, persidangan ini akan dihadiri oleh pengamal media dan ahli akademik dari berbagai Negara yang terlibat dalam penyelidikan serta program yang berkaitan dengan pengurusan maklumat dan perkembangan media.

Katanya, persidangan ini juga sesuai dihadiri oleh masyarakat umum oleh kerana isu media literacy pada masa kini merupakan isu masyarakat, yang melanda masyarakat dari semua peringkat.

MEDLIT5”Bertepatan dengan tema persidangan ini adalah Media Literacy for Social Change, yang memberi pengertian bahawa media mampu mengubah masyarakat sama ada dari segi pembangunan fisikal tetapi yang lebih penting dari segi nilai dan budaya masyarakat.

”Dalam persidangan ini, kita akan dapat dengar perkongsian ilmu dalam media yang dikaitkan dengan isu komunikasi politik, integriti, pembangunan masyarakat, keusahawanan, penggunaan teknologi, impak kepada sistem media dan peranan media secara menyeluruh,” katanya.

Turut diadakan pertandingan dalam penyediaan MOOC dan juga penghasilan TV serta pameran peluang kerjaya dalam bidang media, kewartawanan, teknologi dalam media dan penggunaan media dalam berbagai bidang yang lain.

MEDLIT2Selain itu, berlangsung juga pameran Mini TV serta Bengkel Robotik.

Sementara itu, segmen Tokoh bicara daripada pengamal seperti Saudara Suhaimi Sulaiman turut memeriahkan ICMEDLIT di samping tokoh sarjana barat seperti Professor Emeritus Thomas Bauer, dan beberapa tokoh pengamal media dari ranatau ASEAN turut serta berkongsi ilmu dan kepakaran kepada peserta ICMEDLIT.

Prof. Dato’ Dr. Ibrahim berharap dengan penganjuran persidangan untuk memberi satu kesedaran baru bahawa media merupakan salah satu bidang multidisiplinari yang melibatkan semua lapisan masyarakat.

Katanya, pada abad ini adalah adalah penting bahawa masyarakat tahu bahawa media kini telah berada dekat dengan kehidupan kita sehingga ia telah mampu mengubah struktur, nilai, budaya serta amalan harian dalam kehidupan ini .

”Ini berlaku apabila masyarakat disogokkan dengan dengan berbagai maklumat dari berbagai sumber.  

”Oleh yang demikian, adalah sangat penting masyarakat perlu dididik untuk menilai setiap maklumat yang diterima agar kehidupan masyarakat tidak ditentukan oleh media tetapi masyarakat perlu bijak untuk disesuaikan agar ia menjadi agen dalam  pembangunan Negara,” katanya.

Persidangan MEDLIT julung kali diadakan ini dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri bagi Integriti dan Ombudsmen, YB. Dato’ Talib Zulpilip manakala majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB. Dato’ Dr. Mary Yap Kain Ching.

 

28783376 1686980804689947 2702894389849535224 nKOTA BHARU 7 Mac 2018 – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) untuk mewujudkan American Corner, yang berlangsung di Galeri Pembangunan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 7 Mac 2018.

MoU itu telah ditandatangani oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Pustakawan UMK, En. Azman Hashim.

Manakala Kedutaan AS diwakili oleh Kaunselor Hal Ehwal Awam Kedutaan AS, Mr. Bradley A.Hurst dengan disaksikan oleh Sarah Talalay dan Sadayan Riazurrahman.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Husaini, penubuhan American Corner adalah one stop centre sebagai pusat perkongsian maklumat mengenai peluang perniagaan dan pendidikan serta sejarah dan budaya Amerika kepada masyarakat umum.

28795951 1686980991356595 5456230929884933617 n

Beliau menyifatkan melalui platform ini para pelajar, pensyarah dan orang awam diberi pendedahan dan maklumat tentang budaya Amerika Syarikat dan sejarahnya.

"Sudut Amerika ini juga akan membantu para pelajar UMK serta orang ramai mengenai program keusahawanan yang bakal memberi manfaat kepada semua 10,000 pelajar UMK.

"Mereka boleh mengakses dan menggunakan semua bahan bahan-bahan tentang Amerika Syarikat dalam semua aspek seperti polisi-polisi Amerika Syarikat, pendidikan, geografi, sejarah, masyarakat, budaya di sudut tersebut," katanya.

Prof. Dato’ Dr. Husaini berkata American Corner itu akan ditempatkan sementara di UMK Kampus Kota sebelum dipindahkan ke UMK Bachok.

28576879 1686980664689961 4863971862676819173 n

Sementara itu, Bradley A.Hurst berkata menerusi kerjasama ini pihak Kedutaan AS dapat menyediakan satu kemudahan sudut Amerika di UMK yang akan ditempatkan di pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu di UMK Kampus Kota di bawah seliaan Ketua Pustakawan, Encik Azman Hashim.

Katanya, Sudut Amerika ini menawarkan koleksi yang unik dan istimewa meliputi pelbagai pengetahuan dan ilmu yang luas untuk pelajar dan orang ramai mengakses bahan-bahan daripada pelbagai aspek seperti keusahawanan, pembelajaran bahasa Inggeris dan pengajaran, peluang pendidikan tinggi di AS dan sejarah Amerika.

“Selain itu, sudut ini juga menyediakan bahan-bahan rujukan pentadbiran kerajaan AS, kesusasteraan, seni dan budaya, dan perlindungan alam sekitar serta pembangunan lestari.

28660741 1686980871356607 6430416649247352634 n“Sudut ini juga dilengkapi dengan bahan cetak dan elektronik malah pihak kami akan turun dari ke semasa mengadakan sesi perkongsian dengan pensyarah dan pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, En. Azman menyambut baik kerjasama ini dengan menempatkan satu sudut yang dinamakan American Corner yang menempatkan bahan-bahan berkaitan AS yang memberi manfaat kepada warga kampus UMK dan masyarakat setempat.

Katanya, sudut tersebut akanl beroperasi di Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu UMK Kampus Kota Pengkalan Chepa dan dijangka berpindah ke UMK Bachok apabila bangunan baharu perpustakan di situ siap sepenuhnya Ogos tahun ini.

 CLS

CLS7

INSTITUSI Pendidikan Tinggi perlu mempersiapkan pelajar dan graduan dengan ilmu serta pendidikan sebagai teras dalam usaha mengharungi cabaran baharu Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang secara signifikan akan mengubah masa depan dunia pekerjaan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, ledakan industri 4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, Internet of Things (IoT), analisis dan big data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik dan cloud yang bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden.

Beliau berkata, dunia sekarang telah mengalami perubahan seangkatan dengan Revolusi Industri 4.0. sebagai contohnya apa yang berlaku hari ini iaitu syarikat teksi terbesar di dunia iaitu UBER tidak mempunyai teksi atau pemandu malah peruncit yang paling terkenal dan berharga di dunia iaitu ALIBABA tidak mempunyai inventori.

CLS6“Pemilik media sosial yang paling popular iaitu Facebook tidak mempunyai pusat berita, vendor software terbesar iaitu AppleStores and Google tidak membuat aplikasi serta banyak lagi perubahan yang ketara dan ini adalah merupakan perubahan Digital Disruption yang telah berlaku seangkatan dengan Revolusi Industri 4.0.

“Jadi sekiranya cabaran teknologi baharu yang kompleks itu tidak diberi penekanan sewajarnya, ia boleh menyebabkan Malaysia jauh ketinggalan dalam persaingan di peringkat global,” katanya pada Program Syarahan Pengerusi (Chairman Lecture Series) Bagi Tahun 2018, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 8 Mac 2018.

CLS3Program CLS Siri 1/2018 kali ini menampilkan Pengerusi Symphony Life Berhad, Tan Sri Azman Yahya sebagai penceramah utama yang menyampaikan ceramah bertajuk The Digital Disruption - What It Means For Businesses   And Careers.

Turut mengundang ialah Pengarah Institut Kepintaran Buatan Dan Data Raya (AIBIG), Prof. Dr. Mohd Saberi Tan Ah Chik @ Mohamad yang menyampaikan ceramah bertajuk Digital Disruption : Transformation Of World.

Manakala moderator ialah Pengarah Pejabat Jaringan Industri & Kolaborasi (ILCO), Prof. Dr. Balakrishnan A/L Parasuraman.

CLS4Menurut Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah, Program Syarahan Pengerusi CLS ini dilihat sebagai sebuah platform perkongsian ilmu yang sangat bagus melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran tokoh korporat yang berjaya untuk diterapkan oleh staf universiti serta mahasiswa UMK khususnya dalam usaha memperkasakan modal insan negara.

Katanya, objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswa, staf UMK dan agensi-agensi jemputan untuk menerokai idea-idea, pendekatan yang baharu dan praktis terkini dalam sesebuah industri.

CLS2

“Selain, daripada itu, program ini secara tidak langsung membolehkan para akademik untuk membuat penilaian terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran agar ianya selari dengan perkembangan sektor industri semasa sekaligus staf akademik dapat bekerjasama dengan pihak industri.

“Pakar akademik perlu menjalankan aktiviti penyelidikan dan program lanjutan bersama pakar industri dimana hasil daripada aktiviti tersebut akan dijadikan sumber yang berfaedah bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Tambah beliau, program seumpama ini sememangnya memberikan impak yang besar kepada kita khususnya tentang perkongsian ilmu yang bermanfaat kepada mahasiswa serta ahli akademik UMK khususnya.

“Sebagai sebuah universiti keusahawanan, panduan serta nasihat daripada tokoh-tokoh tersohor ini sememangnya amat kita dambakan,” katanya.

CLS8

Sementara itu, Tan Sri Azman berkata peredaran zaman membawa kepada pelbagai perubahan teknologi namun sebagai mahasiswa yang berpendidikan dan berpegetahuan luas haruslah berani dan bersedia menghadapi revolusi yang akan berlaku pada masa akan datang.

Katanya, kita tidak perlu takut apa yang ada dihadapan kita sekarang ini,tetapi kita perlu fokus dengan apa yang berlaku dan menerima perubahan digital ini.

“Dalam Digital Disruption akan memberi kesan keatas setiap antara kita dan ia memberi impak yang besar kedalam kehidupan dan bisnes masyarakat.

CLS9“Merujuk kepada kepentingan bisnes dan kerjaya,masyarakat perlu tahu bagaimana ia memberi kesan negatif di dalam kehidupan mereka dan mereka juga perlu mencari langkah lebih awal untuk menangani masalah tersebut, “ katanya.

Tan Sri Azman menyifatkan bahawa masyarakat hari ini lalida ataupun tidak kisah dengan “Digital Disruption” malah mereka tidak faham dengan apa yang sedang berlaku.

“Masyarakat perlu tahu ia bakal menjadi perubahan besar dalam industri dan memberi impak yang besar kepada semua.

“Sekiranya masyarakat tahu cara untuk menguruskan masalah ini, ia akan menjadi satu peluang yang besar”, katanya.

CLS5

ProfSchool

ProfSchool5

BANGUNAN senibina berteknologi tinggi seperti Burj Khalifa di Dubai, Menara Abraj Al Bait di Makkah, Velo Tower di Korea Selatan, Guangzhhou Opera House dan keretapi laju Shanghai Maglev di China adalah antara pembinaan berteknologi tinggi abad ini yang merungkai segala persoalan makna sebenar dalam pengetahuan kejuruteraan sains dan teknologi pada masa kini.

Pembinaan bangunan dan kemudahan infrastruktur ini diiktiraf sebagai contoh pengurusan yang baik sebagai inspirasi dalam kejuruteraan reka bentuk menggabungkan teknologi canggih dan sains.

Dengan menggabungkan teknologi seperti itu bangunan ini berfungsi sebagai ikon global untuk pusat-pusat bandar masa depan bagi negara-negara membangun.

Justeru, Kementerian Pendidikan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) merancang pelbagai strategi bagi mengukuhkan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di peringkat sekolah melalui pendekatan baharu dengan memantapkan kurikulum yang menggabungkan kemahiran berfikir aras tinggi.

ProfSchool2

Bagi merealisasikan hasrat kerajaan itu, Majlis Profesor Universiti (MPU) Chapter Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) menjalinkan kerjasama strategik menganjurkan Program Prof@School 2018 fasa kedua dalam membantu meningkatkan prestasi pelajar sekolah dalam pelbagai bidang terutamanya bidang STEM.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, fasa pertama Prof.@School adalah melibatkan sebanyak 76 buah sekolah di seluruh negeri Kelantan membabitkan 60 sekolah menengah dan 16 sekolah rendah.

Beliau berkata, manakala pada fasa kedua tahun 2018 ditambah kepada 24 buah sekolah diseluruh Kelantan dengan menjadikannya 100 buah sekolah yang terlibat dalam Program Prof.@School pada tahun ini.

“Objektif utama program Prof.@School adalah untuk membantu mencemerlangkan pendidikan pada peringkat sekolah dengan membantu sebagai mentor kepada pelajar dan guru dalam bidang kritikal seperti sains, teknologi dan matematik.

ProfSchool3

“Profesor ini turun padang menjadi penceramah motivasi kepada pelajar dan guru dengan membantu guru dalam memperbaiki sistem penyampaian dan kompetensi guru disamping mengadakan program bukan akademik bersama dengan pihak sekolah seperti program pengukuhan ketrampilan pelajar, keceriaan sekolah atau kesukanan,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Prof.@School 2018, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, pada 7 Februari 2018.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Hassan Mohd Osman, Ketua Penolong Pengarah Sektor Jaminan Kualiti JPN Kelantan, Tuan Hj. Wan Ismail Wan Daud, Pengarah Pejabat Pengurusan Penyelidikan UMK, Prof. Dr. Jasni Sabri dan Ketua Penolong Pengarah Sains JPN, Tuan Hj. Wan Muhammad Zuri Wan Abdullah.

Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, program ini juga membantu dalam pengajaran dan pembelajaran bagi matapelajaran yang dikenalpasti seperti Bahasa Inggeris atau STEM.

ProfSchool4

Tambah beliau, keberkesanan program Prof.@School di peringkat fasa pertama telah berjaya meningkatkan kefahaman ibu bapa dalam pendidik STEM malah minat pelajar kepada bidang STEM juga semakin bertambah.

“Selain itu, program ini juga meningkatkan kesedaran dan komitmen guru dalam mata pelajaran STEM dan sekaligus meningkatkan kesedaran pihak berwajib tentang kepentingan STEM.

“Kita melihat para profesor telah memberi sumbangan besar dalam bimbingan kepada masyarakat dan membantu Negara dalam meningkatkan nisbah pelajar STEM,” katanya.

Sementara itu, Tuan Hj. Wan Ismail, berkata, Program ini merupakan program yang amat unik kerana seluruh sistem pendidikan dan sekolah hingga Universiti, ibubapa dan masyarakat memainkan peranan masing-masing bagi memantapkan sistem pendidikan di masa akan datang.

Katanya, para profesor UMK dan pihak sekolah akan memberi kerjasama dalam melaksanakan program ini sebaik mungkin memandangkan profesor merupakan role model kepada pelajar dan pendidik di peringkat sekolah.

“Kepakaran yang ada pada profesor ini seharusnya digunakan sebagai pakar rujuk dalam memperkasakan bidang kritikal seperti STEM. Ini adalah merupakan sumbangan yang amat besar, jika profesor di UMK dapat membantu melahirkan generasi muda yang berpendidikan STEM di masa hadapan,” katanya.

ProfSchool6

DALAM usaha mengembangkan portfolio Majlis Action Group Entrepreneurship (AGE) Council, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melancarkan buku Coffee Table berjudul Action Group Entrepreneurship: Memberi Nilai Kepada Jalinan Kerjasama Industri-UMK bagi menyokong penglibatan serta impak yang dibawa oleh pihak industri untuk menjayakan agenda keusahawanan dan bidang berkaitan di UMK.

UmkAgeCouncil4

Buku yang diterbitkan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dalam Bahasa Melayu setebal 120 halaman itu menghimpunkan maklumat merentasi berbagai skop termasuk bantuan kewangan, bimbingan, khidmat komuniti, perniagaan pelajar, program akademik pelajar, pembangunan kurikulum, program sangkutan staf akademik serta penyelidikan bersama.

Majlis pelancaran buku itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Hussaini Omar di Bilik Mesyuarat Senat, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 15 Januari 2018.

Terdahulu, Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah mempengerusikan Mesyuarat UMK AGE Council Bil. 1/2018 (Kali Ke – 6) dengan tujuan membincangkan jalinan kerjasama ahli UMK AGE Council.

Turut berlangsung ialah majlis pelancaran buku Menyelusuri Warisan Pelancongan dan Alam Semulajadi Lembangan Pengkalan Datu dan pelancaran Buku Takaful Pelindungku UMK Wealth Lab MFPC.

UmkAgeCouncil3Pada majlis sama, Tan Sri Hamad Kama Piah turut menyaksikan Majlis Pertukaran Perjanjian antara UMK dengan Creadit Guarantee Corporation dan pelancaran Program KPT-CELCOM SISWAPRENEUR @UMK.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, berkata, penerbitan buku Action Group Entrepreneurship: Memberi Nilai Kepada Jalinan Kerjasama Industri-UMK ini sebagai satu usaha merekodkan kepada umum tentang perkembangan dan pencapaian yang dilaksanakan serta jaringan kerjasama Majlis AGE-UMK menjalankan agenda keusahawanan.

Katanya, selain itu kandungan utama buku ini ialah berkenaan program dan aktiviti kerjasama akademik, penyelidikan dan inovasi, perkongsian ilmu dan pengalaman serta program tanggungjawab sosial.

“Buku tersebut memperjelaskan kerjasama antara Ahli Majlis AGE-UMK dengan pihak universiti yang dilaksanakan mengikut struktur yang mantap melibatkan perkongsian pengalaman dalam sektor korporat dan akademik.

“Selain itu, ia merangkumi pencapaian dan kejayaan program AGE Council seperti memperkasakan keusahawanan merangkumi pelancaran Outlet Avon Malaysia dan UMK - Avon Business Model, Program Endownment Pembangunan Usahawan oleh Nadicorp Holdings dan Pengurusan Kiosk Celcom Axiata Berhad,”   katanya.

UmkAgeCouncil2Tambah beliau, buku itu juga mengandungi program Pemasaran Produk UMK di Portal 11-Street, Pertandingan Business Apprentice bersama Distinct Legacy Sdn. Bhd dan Projek Incinerator dan Implementasi Panel Solar oleh Majulia Sdn. Bhd.

“Kandungan buku ini juga melibatkan program penyelidikan bersama Ahli AGE-UMK iaitu projek Incinerator dan Implementasi Panel Solar oleh Majulia Sdn. Bhd., program Case Study in Retail: Challlenges, Solutions and Outcome bersama Bumiputra Retailers Organization, Projek Kerjasama Rural Transformation Program for Mambong, Singgora, Serunding bersama Khazanah Nasional dan Projek SME Innovation Index bersama Agensi Inovasi Malaysia.

“Buku ini juga mencatatkan kerjasama Projek Perundingan Bagi Rekabentuk Landskap Dataran Cheng Ho, Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu dan program perkongsian ilmu dan pengalaman dalam Chairman Lecture Series UMK membabitkan Celcom Axiata Berhad, Permodalan Usahawan Nasional Berhad, Geo Solutions, Distinct Legacy Sdn Bhd dan Credit Guarantee Corporation,” jelas beliau.

Prof. Dato’ Dr. Ibrahim berkata, pada buku ini juga mencoretkan kejayaan jalinan kerjasama dalam memperkukuhkan agenda dalam insiatif AGE ini dengan pihak Universiti yang berjaya menandatangani Memorandum Persefahaman dan Persetujuan sebagai membuktikan kesungguhan industri menjalinkan kerjasama.

UmkAgeCouncil1

 

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menempa sejarah sebagai Universiti Awam pertama di Malaysia menjadi perintis kepada program Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT)-CELCOM Siswapreneur@UMK melalui kerjasama strategik UMK dengan Celcom Axiata Berhad.

Melalui kerjasama itu, Celcom Axiata Berhad menyerahkan dana berjumlah RM50,000 kepada UMK untuk dua buah 'food cart' yang lengkap dengan alatan menggoreng dan peti sejuk beku untuk kemudahan pelajar asnaf terpilih menjalankan perniagaan.

Majlis penyerahan Mockup Cek itu telah disempurnakan oleh Ketua Perhubungan Kerajaan dan Tanggungjawab Korporat Celcom Axiata Berhad, En. Saiful Bahrin Abd Ghaffar kepada Pengerusi Lembaga Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar di Bilik Mesyuarat Senat, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 15 Januari 2018.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.

Menurut En. Saiful Bahrin, pelaksanaan projek ini akan dimulakan di UMK pada Februari ini sebelum diikuti enam UA lain iaitu Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Katanya, menerusi pelaksanaan projek itu pihak Celcom Axiata Berhad telah memperuntukkan sebanyak RM350,000 untuk tujuh buah universiti awam dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

“Ini merupakan salah satu usaha Celcom Axiata Berhad dibawah kerjasama UMK-EI untuk menyumbang kepada pembangunan usahawan dengan merangka program bagi membantu pelajar dikalangan asnaf yang terpilih di setiap UA di negara ini.

“Dalam usaha membudayakan ekonomi digital dalam kampus, setiap ‘food car' juga akan sediakan kemudahan wifi dan aplikasi boos' bagi menggalakkan pembelian tanpa tunai,” katanya.

Sementara itu, Celcom Axiata Berhad juga telah melantik tiga buah syarikat siswa universiti sebagai agen jualan Celcom dengan membekalkan kiosk Celcom X-Pax dan kelengkapan promosi di tiga kampus UMK yang beroperasi setiap hari bekerja.

Tiga syarikat itu ialah Thinker Biz (UMK Kampus Kota), NSR Group Enterprise (UMK Bachok ) dan Starlight Enterprise (UMK Kampus Jeli).

Program pengurusan Kiosk Celcom ini memberi peluang kepada pelajar membentuk satu perniagaan yang menekankan kepada servis pelanggan dan jualan langsung disamping diberi latihan dan bimbingan tentang pengurusan acara dan program promosi jualan di bawah penyeliaan pihak Celcom.

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                     Foto : Al Azam Razi

 

DELEGASI Jawatankuasa Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Awam Malaysia telah mengadakan lawatan ke Lembangan Sungai Pengkalan Datu yang terletak di Mukim Sering, Kota Bharu, Kelantan, bagi mendapatkan maklum balas positif untuk dimajukan sebagai hab pelancongan baharu berasaskan warisan dan alam semulajadi.

Delegasi lawatan yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar telah diberi taklimat ringkas mengenai pelbagai usaha penyelidikan dan kerja lapangan yang sedang dipergiatkan oleh UMK bagi memastikan pembangunan LSPD dilaksanakan seperti yang dirancang.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, pihak UMK dengan kerjasama Persatuan Warisan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA) telah memulakan usaha penyelidikan untuk mengemukakan lebih banyak bukti-bukti yang berkaitan LSPD bertujuan untuk dokumentasikan tarikan, bahan-bahan sejarah dan warisan yang terdapat di kawasan tersebut.

Katanya, tugas utama ialah dengan menempatkan pelajar UMK khususnya pelajar daripada Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) untuk menjalankan aktiviti kajian dan penyelidikan berkaitan tarikan-tarikan yang terdapat di kawasan ini.

“LSPD mempunyai potensi besar untuk dibangunkan memandangkan kawasan ini amat strategik dan merupakan kawasan bersejarah serta pernah menjadi penempatan terawal Kesultanan Melayu Kelantan.

“Selain itu, terdapat pelbagai keunikan di kawasan itu termasuk pembuat wau dan artifak muzikal yang masih kekal di samping mewujudkan pasar terapung yang boleh meningkatkan sumber sosio ekonomi penduduk setempat,” katanya selepas lawatan River Cruise Timbalan Naib Canselor  (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Awam Malaysia, di Cerana Villa Resort, Sering, Kota Bharu, Kelantan, pada 10 Julai 2017.

Turut hadir, Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Madzlan Aziz, Penolong Naib Canselor (Penyelidikan  dan Inovasi) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof.  Dr. Hadariah Bahron dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Dr. Mashitah Mohd Yusoff

Hadir sama, Dekan FTKW, Prof. Madya Ahamad Tarmizi Bin Azizan dan Pengerusi WASPADA, Tn. Hj. Mohd Asri Hj. Husin.

Tambah Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, lawatan itu juga untuk melihat sejauh mana potensi untuk pihak universiti mendapatkan maklum balas, khidmat nasihat serta rujukan untuk tujuan penambahbaikan bagi projek pembangunan di kawasan tersebut.

“Lokasi ini mampu memainkan banyak peranan dalam meningkatkan sosiekonomi dan memperkenalkan budaya masyarakat,” jelasnya.

Sementara itu, Tn Hj. Mohd Asri berkata, LSPD memiliki keunikan dan sejarah serta merupakan sumber yang perlu dikekalkan dan dipulihara sebagai budaya tarikan pelancongan di Kelantan.

Beliau berkata, terdapat pelbagai produk pelancongan di sekitar LSPD seperti produk sejarah, alam semulajadi, agro pelancongan dan kesenian serta kebudayaan.

“Pihak WASPADA dengan kerjasama UMK berusaha untuk merealisasikan perancangan projek tersebut kerana LSPD mempunyai potensi besar untuk dibangunkan kerana kawasannya strategik malah terdapat industri pembuatan kuih tradisional dan perusahaan madu kelulut.

“Kita amat berharap LSPD yang dikordinasikan oleh semua agensi untuk membangunkan LSPD sebagai produk pelancongan baharu khususnya di bandar Kota Bharu untuk membantu penduduk disini dalam aspek pembangunan sosio ekonomi,” katanya.

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                      Foto : Al Azam Razi

PROGRAM Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang dilaksanakan oleh Institut Perusahaan Kecil Sederhana (ISME) dengan kerjasama  Syarikat Nera Infocom (M) Sdn Bhd merupakan salah satu strategi berkesan bagi melonjakkan kadar penembusan jalur lebar ke seluruh negara khususnya di kawasan pendalaman dan luar bandar.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar berkata, pihak universiti selaku institusi pengajian tinggi di negeri ini  sentiasa memainkan peranan membantu kerajaan dalam mengurangkan isu jurang digital di kalangan masyarakat .

Beliau berkata, perkembangan teknologi maklumat dan digital yang begitu pantas pada hari ini ini menjadi cabaran serta isu utama di kalangan masyarakat khususnya di pendalaman dan luar bandar.

“Justeru itu, program latihan dengan kerjasama yang dijalankan oleh pihak ISME dan industri ini adalah bertujuan untuk mengurangkan jurang digital dimana program ini dapat membuka ruang yang lebih luas kepada masyarakat untuk sama-sama menikmati perkembangan teknologi maklumat.

“Pelaksanaan program latihan ini antara sebahagian usaha yang mampu menyumbang kepada merapatkan jurang digital melalui perancangan program yang dibekalkan dan latihan dalam meningkatkan pengurusan teknologi digital kepada Pengurus dan Penolong Pengurus di 16 Cawangan PI1M di negeri ini,” katanya pada Majlis Graduasi Program Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi PI1M (Kelantan), di Bukit Keluang Beach Resort, Terengganu, pada 15 Julai 2017.

Turut hadir, Ketua Projek PI1M Kelantan, Prof. Dr. Mohamed Dahlan Ibrahim, Pemangku Pengarah ISME, Prof. Madya Dr. Mohd Nor Hakimin Yusoff dan Ketua Bahagian Pembangunan Modal, NERA Infocom (M) Sdn Bhd, Cik Mardziyah Wahab.

Seramai 32 Pengurus dan Penolong Pengurus PI1M telah berjaya menamatkan program latihan dan diraikan dengan meriah pada Majlis Graduasi selepas berjaya menamatkan latihan selama dua tahun bermula 1 Julai 2015 sehingga 31 Jun 2017 melibatkan latihan dan business coaching.

PI1M yang terlibat adalah PI1M Kg Jeram, PI1M Kg Gong Kulim, PI1M Kg Selising, PI1M Kg Kajang Sebidang, PI1M Bukit Tandak, PI1M Kg Lawang, PI1M Batu Gajah, PI1M Kg Cengal, PI1M Kg Semuba, PI1M Kg Repek, PI1M Kesedar  Lebir, PI1M Kesedar Chalil, PI1M Kesedar Jeram Tekoh, PI1M Felda Perasu, PI1M Kg Karangan dan PI1M Kusial.

Menurut Prof. Dr. Mohamed Dahlan, Nera Infocom (M) Sdn. Bhd. telah bersetuju melantik ISME sebagai konsultan atau training provider bagi program pembangunan usahawan berprestasi tinggi PI1M bagi negeri Kelantan untuk tempoh dua tahun.

Katanya, pihak ISME menyediakan latihan kepakaran kepada Pengurus dan Penolong Pengurus PI1M yang dilantik dengan melaksanakan program latihan selama dua (2) tahun bermula pada tahun 2015 menerusi  empat siri latihan keusahawanan dan empat siri latihan lestari.

“Objektif utama program latihan ini adalah sebahagian daripada hasrat kita untuk menjadikan Pengurus dan Penolong Pengurus ini sebagai agen perubahan kepada masyarakat di PI1M masing-masing.

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada 32 peserta program ini yang berjaya  menamatkan latihan mereka dan berharap mereka menggunakan kemahiran ini untuk membimbing dan memberi motivasi kepada masyarakat di sekitar PI1M yang sewajarnya untuk berkongsi maklumat ini untuk mereka mahir dalam bidang digital,” jelas beliau.

Sementara itu, Cik Mardziyah berkata NERA merupakan sebuah syarikat pembangunan telekomunikasi dan bertindak sebagai penyelaras projek bagi menyediakan infrastruktur dan program pembangunan staf bagi PI1M di bawah pengurusan pihak Maxis Berhad.

Beliau berkata, Nera Infocom (M) Sdn Bhd telah melantik ISME sebagai konsultan atau Training Provider bagi Program Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi Pusat Internet 1Malaysia di negeri Kelantan.

“Pihak kami berharap melalui kerjasama ini, Pengurus dan Penolong Pengurus PI1M dapat memberi komitmen dan beriltizam untuk melaksanakan amanah serta tugas dengan baik bagi pembangunan sosio ekonomi kepada penduduk setempat.

“Selain universiti awam, pihak Nera Infocom juga tururt mejalin kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), SME Corp dan Lazada bagi melahirkan lebih banyak usahawan digital di kawasan komuniti yang disasarkan,” katanya.

itex2017

PENYELIDIK UMK BOLOT DUA PINGAT EMAS DAN ENAM PERAK

PRODUK N-Macom: Nano Magnectic Adsorbent Composite yang dibangunkan daripada bahan sisa agro dan tumbuhan terbuang yang membolehkan teknologi nanomagnetik dihasilkan bagi kegunaan merawat air sisa industri memperoleh pingat emas dalam kategori Alam Sekitar dan Tenaga Boleh Diperbaharui pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa Ke-28 (ITEX 2017) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Jalan Pinang, Kuala Lumpur, pada 11 hingga 13 Mei 2017.

Kajian itu adalah rekaan oleh penyelidik Fakulti Industri Asas Tani, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) iaitu Prof. Madya Dr. Palsan Sannasi Abdullah dengan kumpulan penyelidik yang terdiri daripada En. Rizki Wannahari dan Dr. Mariam Firdhaus Mad Nordin.

Menurut Prof. Madya Dr. Palsan Sannasi, teknologi produk nano magnetik adalah penemuan penting dalam kajian penyelidikan ini bagi mengurangkan pencemaran air yang berpunca daripada bahan pencemar toksik seperti logam berat dan pewarna oleh kebanyakan pengusaha industri kecil dan sederhana di kawasan Pantai Timur.

Beliau berkata, produk NmaCom dibangunkan daripada bahan sisa agro dan tumbuhan yang terdiri daripada  kulit manggis, daun kering, jagung dan sebagainya yang melalui proses karbonisasi, pengaktifan serta pemagnetan khusus yang lebih mesra alam.

“Penghasilan produk ini bagi merawat air yang tercemar bagi pengunaan industri berikutan kebanyakan industri pembuatan batik menghadapi kekangan kos, kepraktikalan, teknikal, penyelenggaraan jika mengguna-pakai sistem perawatan fiziko-kimia yang sedia ada di pasaran yang lebih mahal mahal,” katanya

Sementara itu, turut menyumbang emas ialah produk Press (Palted Rubber System) hasil penyelidikan oleh  Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), En. Razman Hafifi Redzuan bersama Prof. Dr. Mohamed Dahlan Ibrahim, Prof. Dr. Mohd Rosli Mohamad, Prof. Madya Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein, Dr. Mohd Zulkifli Muhammad dan Encik Ahmad Ridhuwan Abdullah.

Kajian yang dibuat oleh En. Razman Hafifi dengan memperkenalkan produk pengawalan identifikasi bagi menangani kes kecurian getah yang semakin berleluasa berikutan ekoran peningkatan harga getah yang tinggi di pasaran pada hari ini. 

Beliau berkata, acuan identifikasi getah itu dihasilkan pada pembuatan bekas getah dengan secara makronya inovasi ini telah terbukti mampu mengurangkan kerugian yang tidak sepatutnya namun secara mikronya dengan mengunakan konsep ini ia mampu membantu perancangan penanaman getah yang lebih sistematik dan menghasilkan susu getah yang optimum.

“Produk ini membolehkan pihak kami mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah kecurian getah dengan mewujudkan identifikasi getah bagi setiap ladang dimana dengan pengawalan identifikasi yang dikeluarkan oleh pihak syarikat Agri’Pro dengan kerjasama RISDA Malaysia bagi pengawalan identifikasi setiap ladang.

“Setiap peraih dan pemborong getah mempunyai akses kepada data pemilik ladang. Identifikasi yang dinyatakan terdiri daripada huruf dan nombor dan dengan kemudahan ini digunakan sebagai pengenalan pekebun/pemilik, yang merupakan pengiktirafan UMK kepada pekebun kecil getah yang menjadi penyumbang besar kepada pengeluaran getah negara,” jelas beliau.

Dalam pada itu, enam produk inovasi penyelidik UMK  menjadi penyumbang pingat perak di ITEX 2017.

Produk tersebut  ialah High Frequency Super Capacitor CCTO hasil penyelidikan oleh Timbalan Dekan Fakulti Biokejuruteraan Dan Teknologi, Prof. Madya Dr. Ir. Julie Juliewatty Mohamed, produk G Technique oleh Pensyarah Kanan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), En. Mohammad Amizi Ayob dan            produk penyelidikan teknologi pembiakbakaan anak benih pisang bertajuk Tisc-Tech’ On-Farm Nursery Technique For Acclimatization Of Tissue-Cultured Banana Seedlings oleh Pensyarah Kanan FIAT, Dr. Suhaimi Othman.

Turut menyumbang pingat perak ialah produk rekaan aplikasi telefon pintar iaitu Entrepreneurial Characteristic Anndroid Mobile Game – Freezer ciptaan oleh Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Prof. Madya PM Dr. Mohamad Ismail, produk inovasi Pengajaran dan Pembelajaran bertajuk Designing Of Research Ideantion Canvas : Visualize Research Ideas From Strategic Perspectives oleh Ketua Bahagian Pusat Keusahawanan Global, Penyelidikan & Inovasi, Dr. Nik Zulkarnaen Khidzir  dan produk Herbal Rice Syrup oleh Dekan Fakulti Sains Bumi, Prof. Madya Dr. Aweng A/L Eh Rak  

ITEX 2017 adalah merupakan pameran ciptaan terbesar diperingkat antarabangsa bagi pencipta dan penyelidik mempamerkan idea-idea baharu dan produk mereka kepada pengeluar, pelabur, pengedar, syarikat pelesenan dan orang awam.

Pameran itu dianjurkan oleh  Persatuan Rekacipta dan Rekabentuk Malaysia (MINDS), mempertandingkan 23 kategori dan mendapat penyertaan lebih 1000 produk penyelidikan dari lebih 20 negara yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 11 sehingga 13 Mei 2017.

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat               Foto : Al Azam Razi

PRESIDEN  Kumpulan SEGI University & College selaku ahli Majlis Kumpulan Tindakan Keusahawanan (AGE Council) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dato’ Mohamed Azahari Mohamed Kamil, menyerahkan sumbangan zakat peribadi kepada 100 pelajar asnaf UMK dan 52 asnaf kariah Masjid Mukim Kamil Hassan.

Beliau ketika ditemui memberitahu pengagihan sumbangan zakat peribadinya itu sudah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu khususnya kepada Masjid Mukim Kamil Hassan dan ini adalah kali pertama melibatkan penuntut universiti iaitu daripada UMK.

Katanya, sumbangan dan bantuan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu pelajar bagi tujuan pembelajaran dan persediaan menyambut kehadiran bulan Ramadan al Mubarak tidak lama lagi.

“Masyarakat atau sesiapa sahaja yang berkemampuan sewajarnya mengeluarkan zakat kepada pelajar yang memerlukan dan golongan yang kurang berkemampuan agar dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya selepas majlis penyampaian zakat kepada mahasiswa UMK dan asnaf kariah Mukim Kamil Hassan, Kampung Cabang Tiga Pendek , Kota Bharu, Kelantan, pada 18 Mei 2017.

Turut hadir,  Dekan Fakulti Seni Bina dan Ekistik, Prof. Madya Ab Aziz Bin Shuaib serta Pengarah Pusat Islam UMK, Prof. Madya Dr. Mohd Zain Bin Mubarak.

Menurut Dato’ Mohamed Azahari,  mengambil peluang untuk menjemput mahasiswa/i asnaf untuk bersama-sama mengimarahkan Masjid Kamil Hassan dengan meraikan pemberian zakat bagi membantu mereka yang memerlukan.

Beliau berkata, setiap tahun pemberian zakat dilakukan di Mukim Kamil Hassan dan ini adalah kali pertama yang melibatkan ketiga-tiga kampus dengan kerjasama UMK.

“Selain itu, melalui sumbangan itu pihak Masjid Kamil Hassan dapat menganjurkan pelbagai program sepanjang bulan Ramadan seperti ceramah dan majlis berbuka puasa bersama-sama pelajar UMK dan ahli kariah.

“Ini adalah tanggungjawab sosial kami sekeluarga bagi membantu golongan yang memerlukan dan melalui program ini dapat memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja untuk sentiasa saling membantu antara satu sama lain, jelasnya.

Sementara itu, Dato’ Mohamed Azahari berkata, pihaknya kini sedang berusaha keras untuk membangunkan sebuah pusat tahfiz di masjid tersebut.

“Pusat tahfiz yang didirikan di hadapan masjid ini sudah hampir 30 peratus siap dan masih memerlukan suntikan dana.

“Kos anggaran bagi penubuhannya mencecah RM500,000 dan setakat ini, kami berjaya mengutip RM150,000 daripada orang ramai," katanya.

Tambahnya, beliau akan berusaha mencari lagi dana daripada golongan berkemampuan serta syarikat korporat untuk mendapatkan jumlah yang cukup bagi menyiapkan pusat tahfiz tersebut.

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat              Foto : Al Azam Razi

PENASIHAT Sosio-Budaya Kerajaan Persekutuan, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, berhasrat untuk membawa hasil kajian dan penyelidikan oleh Kluster Warisan dan Peradaban UMK, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)  berkaitan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (LSPD) kepada Kerajaan Pusat memandangkan kawasan itu kaya dengan khazanah warisan dan nilai sejarah.

Beliau berkata, keunikan dan kewujudan sejarah yang tersendiri di LSPD termasuk warisan alam semulajadi yang menarik mampu menjana pendapatan sampingan kepada penduduk di kawasan itu terutamanya dalam sektor pelancongan.

Justeru itu, beliau mencadangkan UMK mewujudkan sebuah jawatankuasa kecil bersama bagi membuat penyelidikan terperinci bagi melihat LSPD yang terletak di Mukim Sering sebagai kawasan tumpuan pelancongan. 

“Dengan adanya jawatankuasa seumpama itu akan memudahkan perancangan dan keutamaan yang perlu diberikan untuk membangunkan projek tersebut khususnya dari aspek mewujudkan pemerhatian terhadap pembudayaan warisan dan sektor pelancongan yang terdapat di kawasan ini.

"Saya percaya keunikan dan sejarah pembangunan Sungai Pengkalan Datu di negeri ini merupakan sumber pelancongan yang perlu dikekalkan dan dipulihara sebagai budaya tarikan pelancongan di Kelantan,” katanya ketika merasmikan pelancaran buku Jejak Warisan dan Pembangunan Lembangan Sungai Pengkalan Datu, di Restoran Cerana, Kota Bharu, Kelantan, 22 Mei 2017.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’. Dr. Mortaza Mohamed, Prof Adjung FTKW, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar, Dekan FTKW,  Prof. Madya Ahamad Tarmizi Azizan, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), FTKW, Dr. Raja Iskandar Raja Halid dan Pengerusi Persatuan Warisan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA), En. Mohd Asri Husin.

BukuCeritaKelantan4

Sebelum itu, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim  menghadiri Program Pidato Warisan dan Peradaban Melayu yang telah disampaikan oleh Tan Sri Datuk Wira Abdul Latif yang bertajuk Perjuangan dan Cabaran Memartabatkan Warisan dan Peradaban Melayu.

Beliau turut merasmikan majlis pelancaran dua buah buku bertajuk Cerita Rakyat Kelantan dan Perjuangan Tok Janggut Menentang Inggeris di UMK Kampus Bachok. 

Penerbitan buku Warisan Cerita Rakyat Kelantan memuatkan sebahagian kisah yang dikumpulkan oleh 230 pelajar Kursus Tradisi Lisan FTKW 2016 bawah penyeliaan Tan Sri Dato’ Wira Abdul Latiff manakala buku Perjuang Tok Janggut Menentang Inggeris pula mengisahkan perjuangan tokoh itu menentang Inggeris hasil hasil pembentangan sarjana dalam seminar perjuangan Tok Janggut pada September 2016 sempena memperingati 100 tahun perjuangan Tok Janggut di Kelantan (1915-2015).

Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais, berkata, projek LSPD perlu dilihat sebagai sumber sejarah dan bagaimana harus dijadikan sebagai inspirasi kepada perancangan pelancongan dan warisan negara.

Beliau percaya bahawa Resolusi Kongres yang diadakan baru-baru ini dapat diterjemahkan di negeri Kelantan dan UMK sebagai peneraju program Hal Ehwal Warisan dilihat sebagai penyumbang nilai serta penyokong kepada usaha ini.

“Setiap pembangunan dan warisan yang ada akan membawa pelbagai kepentingan kepada seluruh masyarakat kerana kedua-duanya mempunyai manfaat dan penambahbaikan untuk masyarakat.

“Ini memandangkan terdapat pelbagai keunikan di kawasan itu termasuk pembuat wau dan artifak muzikal yang masih kekal, di samping pasar terapung yang boleh meningkatkan sumber ekonomi negara. Oleh itu,  sudah tiba masanya Kerajaan Pusat memberi perhatian terhadap pembangunan sungai berkenaan dan melihat warisan itu lebih dekat memandangkan ia menghasilkan satu perkembangan yang produktif,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais berkata kedudukan bahasa Melayu perlu ditegakkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan dan yakin bahawa Bahasa Melayu mampu cemerlang seperti bahasa antarabangsa lain.

"Kita perlu memartabatkan bahasa Melayu dan pada masa yang sama tidak mengetepikan bahasa lain malah kita mahu Bahasa Melayu sama penting dengan Bahasa Inggeris.

“Bahasa adalah identiti sesuatu bangsa yang menjadi tonggak kemajuan sesebuah peradaban. Kita tidak mahu warisan bangsa ini dibunuh oleh orang Melayu sendiri,” katanya.

Oleh : Aiman Syazwan    Foto : Al Azam Razi

DALAM usaha menggalakkan pembudayaan minda kreatif dan inovatif di kalangan warga kerja perkhidmatan awam di negeri ini, Malaysia Productivity Corporation (MPC) menganjurkan Konvesyen Mini Team Excellence Wilayah Pantai Timur yang telah diadakan di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan pada 4 April 2017.

Konvesyen TE dianggap satu platform bagi mengiktiraf projek inovatif dan kreatif yang telah berjaya dilaksanakan di organisasi  dengan menyediakan platform bagi aktiviti penanda arasan dari aspek perbandingan tahap pencapaian impak projek di antara organisasi yang menyertai konvensyen ini.

Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turut tidak ketinggalan menyertai pertandingan tersebut dan berjaya merangkul empat pingat emas.

Pada tahun ini, sebanyak 17 kumpulan yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dalam pengurusan organisasi mengambil bahagian untuk mempamerkan kreativiti dan inovasi masing-masing.

Bagi setiap kategori yang dipertandingkan, kumpulan UMK yang terdiri daripada Ad Hoc, 4-rest, Sopro dan Adrenalin berjaya menambat hati para juri terhadap servis dan produk yang dihasilkan dari aspek penambahbaikan serta penjimatan kos yang efisyen.

Pingat emas yang diraih oleh kumpulan Ad Hoc adalah menghasilkan inovasi kaca mata untuk memudahkan pelukis mendapat titik pusat manakala kaedah pembiakan pokok menerusi Teknologi Lenturan Udara (tut) hasil ciptaan kumpulan 4-rest.

Disamping itu, sistem pengumpulan data penerbitan dan penyelidikan yang dilakukan oleh kumpulan Sopro memberi kemudahan yang sistematik sehingga mampu menjimatkan kos sehingga RM 206,000 setahun dan kumpulan Adrenalin turut menyumbang pingat emas terhadap perkhidmatan kemudahan servis kenderaan yang dilakukan.

Menurut Pengerusi MPC, Encik Nik Faizal Nik Ahmad berkata, program ini adalah bertujuan untuk mengetengahkan hasil inovasi termasuk proses, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), teknikal, serta penjimatan kos yang digunakan oleh setiap organisasi.

Selain itu, menerusi konvensyen mini ini setiap kumpulan mempamerkan kreativiti terhadap produk ciptaan mereka menerusi idea yang mampu memberi sumbangan besar terhadap syarikat.

“Penganjuran Konvensyen KIK juga akan membantu setiap agensi secara keseluruhannya dalam menambah baik segala urusan seperti memperkenalkan produk untuk meningkatkan kecekapan kerja dan penciptaan sistem yang lebih berkesan.

“Program ini turut memberi peluang kepada setiap kumpulan untuk mempersembahkan projek penambahbaikan yang mampu memberi impak positif kepada organisasi serta meningkatkan imej ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Page 2 of 3

Visitor Counter

Today
Month
26
7083

Online (15 minutes ago):22
22 guests

Contact Us


Deputy Vice Chancellor's (Research and Innovation) Office
Universiti Malaysia Kelantan, Locked Bag No 01, 
16300 Bachok, Kelantan.

Tel : +609 - 779 7400 | Fax: +609 - 771 7022
Best View: 1280 x 800

 

Join us on Facebook