1500 ASNAF TERIMA SUMBANGAN KEPERLUAN HARIAN PROGRAM KOLABORASI STRATEGIK UMK-AL-KHATIRI

Monday, 11 January 2021 15:23

WhatsApp Image 2020 12 20 at 4.12.16 PM

KOTA BHARU 18 Disember I Lebih 1500 golongan asnaf dan miskin dalam komuniti seluruh negeri Kelantan termasuk staf dan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima sumbangan sempena Program Kolaborasi Strategik UMK-Al Khatiri dan Penyerahan Sumbangan daripada Jakel.


Majlis perasmian dan penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail dan Pengurus Besar Al Khatiri Group, En. Zaid Abu Bakar, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, pada 17 Disember 2020.


Turut hadir, Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Prof. Madya Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail.


Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi berharap sumbangan ini dapat meringankan bebanan keluarga asnaf termasuk mereka yang kehilangan pendapatan serta terkesan dengan penularan pandemik Covid 19.


Katanya, sumbangan ini berupa 3,000 kampit beras dengan enam barang keperluan lain adalah sumbangan dari pihak JAKEL sebagai manifestasi kecaknaan mereka pada kekurangan yang dialami oleh golongan asnaf dan miskin.


“Penyerahan sumbangan ini dapat memenuhi keperluan segera golongan asnaf termasuk yang terkesan dengan penularan pandemik Covid 19.


“UMK berterima kasih dan menyambut baik usaha JAKEL ini dan sebelum ini JAKEL telah pun banyak memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada masyarakat. Cuma pada kali ini sumbangan telah dilaksanakan secara bersama dengan pihak UMK,” katanya.


Tambah beliau, UMK mempunyai kepakaran berkaitan penyelidikan dan membina kapasiti komuniti umum termasuklah komuniti miskin.


“UMK melalui InsPeK turut mempunyai jaringan yang kuat dengan pelbagai agensi, NGO dan komuniti berkaitan kemiskinan. Kali ini, InsPeK UMK telah memanfaatkan jaringan tersebut untuk menyerahkan sumbangan JAKEL secara bersasar,” katanya.


Sementara itu, Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Amir Zal berkata, UMK turut melaksanakan kerjasama dengan Yayasan Alkhatiri untuk bersama memperkasakan program dan projek pembangunan ekonomi dalam bentuk pertanian dan penternakan.


“Projek ini dijangkakan akan melibatkan kolaborasi strategik antara kumpulan pakar dari UMK dan pihak Yayasan Alkhatiri.


“Secara khususnya akan melibatkan pakar dari Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFSSA) dan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) UMK.
Kolaborasi strategik tersebut dijangkakan bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, tetapi juga akan ada limpahan manfaat untuk komuniti dari aspek peluang pekerjaan dan kesejahteraan hidup,” katanya.

Oleh I Pusat Komunikasi Korporat

WhatsApp Image 2020 12 20 at 4.12.19 PM

UMK SUMBANG 2000 PPE KE PENJARA ALOR SETAR

Monday, 09 November 2020 12:47

2

PENGKALAN CHEPA 8 Oktober I Prihatin dengan penularan pandemik  koronavirus (Covid-19), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini bekerjasama dengan Jabatan Penjara Negeri Kelantan untuk menyumbangkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk disalurkan kepada Penjara Alor Setar, Kedah.

Peralatan berkenaan meliputi 2,000 unit Sut PPE, 2,000 botol cecair pembasmi kuman dan 500 pelitup muka untuk Penjara Kedah.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail berkata, sumbangan itu dibuat diatas dasar keprihatinan  UMK berikutan penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara bagi membantu para petugas barisan hadapan dalam menangani pesakit Covid 19.

“Sumbangan ini adalah sejajar dengan tagline UMK Untuk Masyarakat atau UMK for Society”, maka pihak UMK cakna dengan keadaan semasa berkenaan penularan mendadak pandemik Covid 19 di beberapa negeri, antaranya membabitkan kluster tembok di Kedah.

3 1“Justeru itu, UMK menerusi Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) telah menyerahkan  PPE suit, pelindung muka dan pensinitasi tangan kerana peralatan ini amat diperlukan oleh pihak barisan hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan PPE kepada Pengarah Penjara Negeri Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Tuan Mat Yaacob, di Penjara Pengkalan Chepa, pada 8 Oktober 2020.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Dr. Hanisa Hassan, Pengarah Bahagian Komersialan Dan Harta Intelek, Prof. Madya Ir. Dr. Julie Juliewatty  Mohamed dan Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Mohamad.

Menurut Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi, inilah antara sumbangan kita kepada komuniti apatah lagi negara berdepan dengan Covid-19.

Katanya, sumbangan UMK kepada petugas barisan hadapan telah dimulakan sejak awal Covid-19 dimana pihak FTKW yang diketuai oleh  Dr. Hanisa telah mengambil inisiatif menghasilkan tiga produk inovasi peralatan perlindungan diri (PPE) iaitu PPE suit, pelindung muka (face shield visor) dan kotak intubasi (intubation box).

“PPE ini merupakan satu set lengkap untuk kegunaan petugas-petugas barisan hadapan yang dikenali sebagai projek   ‘Comprehensive COVID-19 Protective Equipment’.

“Projek ini turut mendapat bantuan dan kerjasama daripada Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMK dan agensi-agensi luar termasuk Penjara Pengkalan Chepa, Hospital Raja Perempuan Zainab II serta Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Kelantan,” katanya.

Tambah beliau, penghasilan produk ini turut mendapat pengiktirafan dan sokongan apabila ketiga-tiga produk inovasi telah menerima bantuan geran pembangunan inovasi melalui Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) di bawah kelolaan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) pada tahun 2020 sebanyak RM150,000.

PPE suit buatan UMK dibangunkan dengan menggunakan fabrik non-woven yang mempunyai kadar resapan air yang rendah serta lebih cepat dihasilkan dengan menggunakan pola baju yang lebih menjimatkan kain.

“PPE suite ini digunakan untuk melindungi bahagian kepala, badan dan kaki daripada jangkitan virus COVID-19. Tambahan pula, pelindung muka dan kotak intubasi direka dengan perisian Computer Aided Design (CAD), seterusnya dipotong menggunakan laser mesin Kawalan Berangka Komputer (CNC) pada akrilik.

“Manakala pensinitasi tangan (hand sanitizer) pula dibangunkan oleh saintis dari Fakulti Sains Bumi dan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi menggunakan formulasi yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO.

“Projek penghasilan pensinitasi tangan ini dibiayai oleh UMK sendiri sebanyak RM 110,500 dan telah diagihkan secara percuma kepada pelajar dan staff UMK dan juga agensi agensi kerajaan dan swasta,” katanya.

Sementara itu, Tuan Mat berkata, sumbangan oleh UMK  akan diagihkan bersama sumbangan dari Persatuan Orang Kota Bharu, dan Ahli Lembaga Hakim Pelawat ke Penjara Alor Setar.

“Pihak kami menyambuat baik kerjasama dan keperihatinan UMK untuk membantu barisan hadapan menangani Covid-19.

“Kerjasama UMK dan Penjara Pengkalan Chepa telah lama berlangsung khususnya untuk menjahit PPE yang dijahit oleh banduan,” katanya.

Oleh I Pusat Komunikasi Korporat

1 1

IFFSA DAN AGRO REKA JELI KONGSI KEPAKARAN PENYELIDIKAN PRODUK ASAS TANI

Monday, 14 December 2020 16:37

WhatsApp Image 2020 12 03 at 3.23.22 PM

BACHOK 2 Disember I Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFSSA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menandatangani kerjasama strategik dengan syarikat Agro Reka Jeli dalam usaha memacu lagi penyelidikan berasaskan pertanian moden dan pengkomersilan produk asas tani dan makanan.

Kerjasama itu dijangka memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak dengan terlaksananya perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara UMK dan syarikat Agro Reka Jeli yang diadakan secara atas talian di Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu (PPI), UMK Bachok, Kelantan, pada 2 Disember 2020.

Majlis Menandatangani MoU telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail dan Agro Reka Jeli diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dato’ Mohd Rosli Ramli yang disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah dan Penasihat Teknikal Agro Reka Jeli, Prof. Dato’ Ts. Ir. Dr. Hj. Badhrulhisham Abdul Aziz. 

Turut hadir, Pengarah IFSSA, Ts. Dr. Maryana Mohamad Nor dan Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.

Menurut Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi, pihak universiti amat berbesar hati apabila Agro RekaJeli memilih UMK seterusnya memberi kepercayaaan kepada kepakaran penyelidik untuk bekerjasama melalui pelbagai aktiviti penyelidikan, pembangunan produk asas tani dan pengkomersilan produk.

Katanya, IFSSA akan berfungsi sebagai penasihat, pembekal benih durian dan halia berekonomi tinggi kepada Agro Reka Jeli disamping berkoloborasi dalam beberapa penyelidikan untuk menghasilkan ubatan berasaskan hasil tani.

“Melalui kerjasama ini membuktikan semakin ramai ahli akademik UMK menjadi rujukan oleh pihak industri untuk menjadi pakar perunding dan subject expert. Ini adalah sejajar dengan matlamat penubuhan sesebuah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang bukan sahaja untuk pengajaran dan pembelajaran malah sebagai satu pusat rujukan untuk berkongsi kepakaran dengan komuniti setempat.

“Kerjasama erat dengan pihak industri ini amatlah penting untuk meningkatkan sifat kompetitif di kalangan penyelidik, memperkasakan marketable skills di samping menjana pendapatan untuk universiti,” katanya.

Tambah beliau, ahli akademik bukan sahaja memberi ilmu kepada pelajar, tetapi mereka juga perlu bersikap proaktif dalam memasarkan kepakaran mereka, menarik pelabur dalam dan luar negara serta mendedahkan pelajar kepada industri dalam setiap kursus yang ditawarkan.

“Dengan ini, bukan sahaja mutu penyelidikan bertambah hebat, kebolehpasaran pelajar juga akan meningkat,” katanya.
Sementara itu, Ts. Dr. Maryana berkata projek antara UMK dan Agro RekaJeli akan berfokuskan kepada penyelidikan pembenihan varieti durian bernilai tinggi seperti Black Thorn dan Raja Kunyit, propagasi halia dan kunyit hitam, inokulasi gaharu dan penghasilan varieti manga berkualiti tinggi. 

Katanya, projek ini akan diketuai oleh beliau sendiri dan kumpulan penyelidik iaitu Ts. Dr. Suganthi Appalasamy, Puan Tengku Halimatun Sa’Adiah Tengku Abu Bakar dan En. Mohd Mahmud@Mansor.

“Anggaran kasar nilai projek-projek yang akan dijalankan dari pembenihan, penanaman, penuaian , penjualan dan pemprosesan hasilan hiliran boleh menjana pendapatan sehingga RM5 juta menjelang 2025.

“Projek ini akan menjadi teras utama dalam pembangunan produk berasaskan makanan dan seterusnya memberi manfaat besar kepada masyarat di sekeliling melalui pemindahan ilmu dan teknologi menggunakan fasiliti Jeli Food Farm Valley (JFFV) yang terletak di dalam UMK Kampus Jeli, selaras dengan misi kemasyarakatan UMK for Society,” katanya. 

Beliau berharap, dengan adanya projek seperti ini, lebih ramai lagi pelabur dan usahawan tempatan akan menggunakan peluang ini untuk bekerjasama dan menggunakan fasiliti JFFV Kampus Jeli dan kepakaran UMK untuk meningkatkan lagi nilai produk makanan yang dihasilkan.

WhatsApp Image 2020 12 03 at 3.23.24 PM

 
Read 67 times

MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) BERIMPAK TINGGI ANTARA UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN DAN AIN BIOMASS INDUSTRIES SDN. BHD.

Wednesday, 09 December 2020 12:31

WhatsApp Image 2020 10 16 at 4.59.52 PM

BACHOK 15 Oktober I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan BioMass Industries Sdn. Bhd. hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama pelaksanaan projek keusahawanan sosial berimpak tinggi.
 
Memorandum yang dimeterai adalah berlandaskan kepada kerjasama lingkaran empat atau quadruple helix yang menggabungkan kepakaran UMK bersama-sama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU),  Ain Biomass Industries Sdn. Bhd. dan komuniti Jeli.
 
Kerjasama itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail  dan Pengarah Ain Biomass Industries Sdn. Bhd., Dato’ Wan Ariff Wan Hamzah, di Bilik Seminar 2, Bangunan Canselori, UMK Bachok, Kelantan, pada 15 Oktober 2020.
 
Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi, berkata pihak TERAJU telah memberi kepercayaan dengan memilih UMK melalui Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT) sebagai rakan kerjasama menerusi peruntukan geran yang bernilai RM2.3 juta untuk tempoh lima tahun.
 
Katanya, dengan kerjasama ini akan menjadi satu penanda aras yang baharu bagi UMK di mana ini adalah salah satu geran terbesar yang telah diterima oleh penyelidik UMK setakat ini.
 
“Projek ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Wan Mohd Faizal Wan Ishak dan barisan penyelidik terdiri daripada Dr. Mazlan Mohamed, En. Mohd Aswawi bin Isa, Prof. Madya Dr. Najmi Masri dan Pn. Aliffah Adnan. Pemilihan barisan penyelidik oleh pihak TERAJU ini adalah berlandaskan inovasi dan keupayaan projek dalam membantu peningkatan pendapatan peserta dikalangan komuniti setempat.
 
“Pihak UMK juga berterima kasih kepada Dato’ Wan Ariff Wan Hamzah, Pengarah AinBiomass Industries Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, En. Helmee Hashim yang turut amat berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama ini,” katanya.
 
Menurut Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi, projek antara UMK dan Kumpulan Ain akan memberi impak yang besar kepada kedua-dua pihak serta masyarakat iaitu menerusi Projek Ain Ayer Asli, Kapal Maritim, Kelapa, Bamboo Heritage, Black Soldier Fly, Taman Kelip-Kelip, Tenaga Solar dan Pusat Latihan dan Asas Keselamatan Maritim.
 
Katanya, UMK sebagai sebuah universiti berteraskan keusahawanan dan komited untuk meneroka kerjasama dengan pihak industri berdasarkan output-output daripada R&D.
 
“Projek seumpama ini dilihat sebagai teras dalam memastikan keterlihatan universiti membangunkan bersama masyarakat selaras dengan misi kemasyarakatan UMK for Society”.
 
“Selain itu, projek ini juga menekankan elemen sosial enterprise, di mana ia membuka peluang kepada penduduk setempat terutamanya golongan B40 dan masyarakat Orang Asli di Jeli dan Dabong bagi meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

UMK TERIMA TIGA BOT DARI MARITIM MALAYSIA

Wednesday, 09 December 2020 10:35

WhatsApp Image 2020 11 08 at 8.48.02 PM

PASIR PUTEH 8 November I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini mengorak langkah setapak lagi dalam bidang penyelidikan dan pembelajaran apabila menerima tiga buah kapal dari Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).


Simbolik penyerahan kapal itu telah disempurnakan oleh Pengarah APMM Negeri, Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob kepada Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail, sempena Majlis Penyerahan Vessel Lucut Hak kepada UMK, di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, pada 8 November 2020.


Sumbangan tiga buah kapal (UMK) itu dilaksanakan melalui persetujuan yang telah dipersetujui di antara pihak Maritim Malaysia dan UMK yang bakal memberi banyak manfaat kepada banyak pihak.


WhatsApp Image 2020 11 08 at 8.48.03 PM 1Menurut Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi, sumbangan kapal daripada pihak Maritim Malaysia ini adalah di atas usaha pihak Creative Techno Park (CTP) yang diketuai oleh Pengarah CTP, En. Mohd Aswawi Isa.
Katanya, kerjasama ini turut disokong oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr Arham Abdullah yang telah merealisasikan impian UMK untuk memperoleh sumbangan kapal daripada pihak Maritim Malaysia.


“Pihak UMK juga telah mendapat kerjasama baik dari pihak industri iaitu Ain Aquaculture yang dimiliki oleh Dato’ Wan Ariff Wan Hamzah yang bersedia untuk menawarkan kepakaran serta sokongan dari aspek kewangan untuk mengubahsuai dan menambahbaik kapal-kapal ini.


“Kerjasama ini akan memberi nafas baharu kepada fungsi kapal ini nanti untuk tujuan gunasama bagi proses pembelajaran dan penyelidikan serta turut menjadi tempat untuk memberikan khidmat masyarakat kepada penduduk setempat apabila bermulanya operasi nanti,” katanya.


Tambah beliau, pihak Maritim Malaysia telah bersetuju untuk menyumbangkan tiga buah kapal berserta kelengkapan di dalam kapal dengan jumlah anggaran melebihi RM500,000.00 sebagai sumbangan peringkat pertama.


Kerjasama UMK melalui Creative Techno Park (CTP) dengan Ain Aquaculture ini dijangka memberi manfaat besar dengan menjadikan kapal tersebut sebagai tempat (platform) membaiki kapal-kapal nelayan di sekitarnya selain dijadikan sebagai pusat latihan hospitaliti serta pusat latihan penyelengaraan kapal dengan menggunakan modul yang dibangunkan oleh UMK.


“Selain itu, kapal tersebut juga dirancang untuk dijadikan sebagai pusat pengendalian bot bertauliah dan dilengkapi dengan galeri seni.


“Perancangan ini dilakukan bagi memastikan khidmat kepada masyarakat setempat dapat dilaksanakan di samping menjadikan kawasan sekitar sebagai pusat tumpuan untuk aktiviti pelancongan,” katanya.


Sementara itu, En. Aswawi berkata, kapal tersebut yang telah siap dibaik pulih akan ditempatkan di kawasan Pulau Gajah iaitu lokasi yang mempunyai potensi besar untuk aktiviti pelancongan.


“Pulau Gajah yang terkenal dengan Masjid Ar Rahman dalam kalangan pelancong kerana ciri-ciri seni binanya yang unik dan tradisional. Dengan penempatan kapal ini nanti sebagai pusat aktiviti penyelengaraan kapal serta dengan adanya galeri seni bakal menambahkan lagi produk pelancongan di kawasan berkenaan.


“Perkara ini secara tidak langsung akan menggalakkan aktiviti pelancongan di kawasan sekitar Pulau Gajah dan seterusnya dapat membantu dalam meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.


“Pihak UMK melalui kepelbagaian kepakaran akan sentiasa memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Oleh I Pusat Komunikasi Korporat

WhatsApp Image 2020 11 08 at 8.48.03 PM

Contact Us

DEPUTY VICE CHANCELLOR'S
(RESEARCH AND INNOVATION) OFFICE
UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN
16300 Bachok
Kelantan

 
Tel : 09 - 779 7400
Email: tncpi@umk.edu.my

Enquiry / Complaint

Follow Us